Nasyid Friday: Adnin Roslan Gandingkan Artis Legasi Dan Bakat Baharu
- oleh MDaily Editor
- 13 May 2026 7:03 pm
Pengasas Tarbiah Sentap, Adnin Roslan, bakal mencetuskan fenomena baharu dalam industri muzik tanah air menerusi pelancaran projek mega ‘Nasyid Friday’ yang menggabungkan elemen dakwah klasik dan moden.
Projek yang dijadualkan bermula pada Jun 2026 sehingga Januari 2027 ini menyaksikan keberanian Adnin menyatukan barisan artis legasi bersama bakat-bakat nasyid baharu bagi memastikan mesej kerohanian kekal relevan dalam jiwa anak muda.
Menurut Adnin, yang juga bertindak sebagai Pengarah dan Penerbit Nasyid Friday, pemilihan hari Jumaat adalah sebagai simbolik kepada ‘penghulu segala hari’ untuk menyebarkan karya yang membawa nilai positif dan ketenangan.

“Visi utama saya adalah memberi alternatif hiburan kepada anak muda. Hari ini, mereka sangat dekat dengan muzik dan media sosial. Jadi, dakwah perlu hadir dalam bentuk yang dekat dengan jiwa mereka dengan kualiti setara hiburan sedia ada,” katanya semasa majlis perlancaran Nasyid Friday di Ruang Shah Alam, di sini, hari ini.
Menariknya, projek ini tidak hanya bergantung kepada lapan tunggak utama Tarbiah Sentap Records seperti Aniq Muhai, Kumpulan Rabithah, dan Kumpulan Fetya, tetapi turut menampilkan penglibatan istimewa artis versatil tanah air.
Ikon komedi dan lakonan, Saiful Apek, bersama Anas Tahir serta Alif Azhari bakal memberikan warna baharu dalam tiga daripada lapan album yang dirancang.
“Saiful Apek, Anas Tahir dan Alif Azhari akan menjadi artis jemputan. Kehadiran mereka membuktikan bahawa seni dakwah ini bersifat inklusif dan boleh disertai oleh sesiapa sahaja yang mempunyai misi menyebarkan kebaikan,” tambah Adnin lagi.

Sementara itu, wakil kumpulan Fetya, Bilal, menjelaskan bahawa pengisian projek ini turut menyentuh isu global termasuk perjuangan Palestin yang dianggap sebagai simbol pertembungan eksistensi dan iman.
Selain pelancaran lagu setiap Jumaat, Nasyid Friday turut diperkukuhkan dengan penghasilan sekitar 200 video konten dakwah dan lapan sketsa kreatif setiap bulan bagi membina ekosistem hiburan Islami yang lengkap.
“Saya mahu buktikan bahawa karya yang mengingatkan kepada Tuhan juga boleh dihasilkan dengan kualiti tinggi, visual cantik dan susunan muzik moden,” tegas Adnin yang berharap usaha ini mendapat sokongan padu masyarakat sekaligus mengharumkan semula nama negara di peringkat antarabangsa.
