NASOM Lancar Logo Progresif, Perkukuh Peranan Peneraju Advokasi Autisme di Malaysia
- oleh MDaily Editor
- 10 Dec 2025 5:07 pm
Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) hari ini melakar sejarah dengan memperkenalkan logo baharu yang progresif, sekali gus merasmikan bangunan Pejabat Sekretariat mereka sebagai simbol evolusi organisasi dalam usaha memperkasa komuniti autisme di negara ini.
Pelancaran logo yang berwajah moden dan segar ini dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Datuk Seri Dr. Noraini binti Ahmad, di Pejabat Sekretariat NASOM yang kini beroperasi di Pacific Place Commercial Centre, Ara Damansara.
Presiden NASOM, Mohd Nazrul Mohd Amin, berkata pengenalan logo baharu ini membawa aspirasi untuk tampil dengan identiti yang lebih relevan dan mencerminkan tekad persatuan untuk terus memperkukuh peranan sebagai peneraju perkhidmatan, sokongan, dan advokasi autisme di Malaysia.

“Logo baharu ini merupakan medium pemerkasaan yang mencerminkan komitmen NASOM untuk terus responsif terhadap aspirasi komuniti autisme dan keluarga mereka.
Ia menzahirkan usaha berterusan kami untuk mengambil kira pandangan, harapan serta keperluan ahli dan penyokong,” katanya.
Beliau menambah, perubahan identiti visual ini selaras dengan misi NASOM untuk meningkatkan kualiti hidup individu autisme dan memperkukuh penerimaan masyarakat terhadap golongan ini.
Logo baharu NASOM diserikan dengan falsafah dan elemen mendalam.
Ia menampilkan Simbol Infiniti yang mewakili konsep neurodiversiti , iaitu pandangan bahawa perbezaan neurologi seperti autisme bukanlah sesuatu kekurangan.
Selain itu, ia turut memuatkan Simbol Dua Titik Air yang melambangkan sifat fleksibiliti dan menyesuaikan diri.
Pilihan warna juga membawa makna signifikan: Merah Jambu melambangkan kasih sayang dan empati, Firus (Turquoise) membawa ketenangan dan kejelasan, manakala Biru pula mewakili kepercayaan dan kesetiaan.

Sementara itu, Pengerusi NASOM, Julian Wong, berkata perasmian Pejabat Sekretariat NASOM yang baharu ini berfungsi sebagai nadi penggerak kepada penyelarasan operasi dan keberkesanan pentadbiran bagi 18 pusat NASOM di seluruh negara.
“Pejabat Sekretariat ini akan menjadi pusat perancangan strategik, pelaksanaan program, dan pendorong utama kepada usaha memperluas penyertaan dan peluang untuk individu autisme di Malaysia,” ujar beliau.
Sejak ditubuhkan pada tahun 1987, NASOM kini mengendalikan 18 pusat di seluruh negara, menyediakan pelbagai program sokongan sepanjang hayat termasuk intervensi awal, latihan vokasional, dan pembangunan kemahiran, memberi khidmat kepada lebih 400 pelajar dengan sokongan 120 kakitangan terlatih.
Sebagai pertubuhan bukan berasaskan keuntungan, NASOM menyeru masyarakat untuk terus menyokong inisiatif dan pengumpulan dana mereka demi memastikan kelangsungan operasi serta akses perkhidmatan yang sewajarnya kepada lebih ramai individu autisme di Malaysia.




