Nasi Dagang Basmathi Grannies Kini di Di Taman Melawati, Jadi Buruan ‘Foodie’
- oleh MDaily Editor
- 3 May 2026 10:27 pm
Bagi peminat tegar hidangan sarapan autentik Pantai Timur, nama ‘Grannies’ bukan lagi asing dalam peta kulinari Lembah Klang.
Bermula sebagai fenomena tular di KLCC, jenama nasi dagang premium ini kini melangkah setapak lagi dengan pembukaan kiosk tetapnya di Taman Melawati.
Terletak strategik di dalam restoran Sajian Mak Lang, kehadiran Grannies di lokasi baharu ini menjadi berita gembira buat warga kota yang mendambakan rasa asli nasi dagang tanpa perlu merentas negeri ke Terengganu atau Kelantan.
Pengasasnya, Puan Suraya, yang juga merupakan bekas kakitangan perbankan selama 11 tahun, menyifatkan pembukaan kiosk tetap ini sebagai bukti komitmen syarikat dalam memartabatkan makanan tradisi Melayu agar terus relevan, terutamanya dalam kalangan generasi muda.

Apa yang membezakan nasi dagang Grannies dengan saingan lain di pasaran adalah penggunaan bahan asasnya. Mengangkat status ‘premium’, hidangan ini menggunakan beras basmathi sepenuhnya, memberikan tekstur yang lebih ringan dan berkualiti tinggi.
“Walaupun harganya diletakkan sedikit tinggi, ia setimpal dengan kualiti rasa yang disajikan. Kami mementingkan konsistensi kerana pelanggan kami rata-ratanya adalah mereka yang tahu menilai keaslian rasa,” katanya.

Ternyata, strategi itu membuahkan hasil apabila jenama yang berdaftar di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia sejak 2018 ini mempunyai kadar pelanggan berulang (repeat customer) melebihi 90 peratus.
Kehebatan air tangan Grannies bukan sahaja memikat selera orang ramai, malah turut menjadi pilihan tokoh-tokoh kenamaan dan selebriti popular tanah air.
Antara figura hebat yang pernah menikmati hidangan ini termasuklah Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Aznil Nawawi, dan usahawan berjaya, Neelofa.

Selain menu utama Nasi Dagang Ikan dan Ayam, pengunjung juga boleh menikmati Nasi Lemak Ikan, Nasi Minyak Terengganu, serta pilihan laksa kuah putih dan merah yang disediakan mengikut resipi tradisi turun-temurun.
Bagi mereka yang ingin memulakan pagi dengan hidangan yang mengenyangkan, kiosk Grannies di Restoran Sajian Mak Lang di Taman Melawati beroperasi setiap hari bermula jam 7.00 pagi hingga 12.00 tengah hari.
Selain makan di premis, Grannies turut menawarkan perkhidmatan katering dan tempahan dalam talian tanpa had pesanan minimum bagi memudahkan pelanggan yang ingin mengadakan majlis kecil mahupun besar.

