Ikuti Kami:

Nar’sata: Sekutu Setan Taruhan Terbaharu Pierre Andre, Temui Penonton 21 Mei Ini

Nar’sata: Sekutu Setan Taruhan Terbaharu Pierre Andre, Temui Penonton 21 Mei Ini

Selepas sekian lama menyepi daripada genre yang mematangkan namanya, pengarah prolifik, Pierre Andre kembali mempertaruhkan karya seram terbaharu bertajuk Nar’sata: Sekutu Setan yang bakal menemui penonton di seluruh negara bermula 21 Mei ini.

Naskhah terbitan Metrowealth International Group (MIG) itu bukan sekadar sebuah filem seram biasa, malah ia membawa elemen ‘gore’ yang lebih gelap, sekali gus mencabar kreativiti Pierre dalam memberikan impak visual dan emosi yang berbeza kepada audiens.

Pierre, 41, mendedahkan bahawa filem ini mempunyai nilai sentimental yang tinggi buat dirinya, malah beliau menyifatkan naskhah ini sebagai penentu masa depannya dalam genre seram.

“Saya meletakkan sasaran kutipan yang tinggi untuk filem ini. Jika Nar’sata: Sekutu Setan gagal mencapai sasaran atau tidak mendapat sambutan penonton, saya mungkin akan berhenti menghasilkan filem seram.

“Salah satu impian saya adalah untuk melihat karya saya mencecah kutipan RM10 juta. Jika ia tidak berlaku, saya sedia ‘pencen’ daripada genre ini dan kembali kepada cinta pertama saya iaitu genre romantik komedi,” katanya pada majlis tayangan perdana filem berkenaan, baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai pembikinan filem itu, Pierre mengakui beliau mengambil masa untuk mengkaji kehendak penonton masa kini yang lebih menggemari naratif pantas selari dengan trend media sosial.

Nar’sata: Sekutu Setan mengisahkan tentang dendam kesumat seorang gadis bernama Balqis yang memilih jalan gelap dengan memuja iblis demi membalas penderitaan yang dialaminya.

Filem ini membariskan pelakon hebat dan meningkat naik antaranya Trisha Ooi, Mawar Rashid, Fadlan Hazim, Aniq Suhair, serta penampilan istimewa barisan pelakon veteran seperti Khatijah Tan, Wan Hanafi Su, Namron dan Vanidah Imran.

Bagi peminat setia sentuhan Pierre Andre yang pernah popular dengan filem Jangan Pandang Belakang dan Highland Tower, jangan lepaskan peluang menyaksikan Nar’sata: Sekutu Setan di pawagam berhampiran anda mulai Khamis ini.