Naqiu Ambil Tindakan Undang-Undang, Didakwa Ditipu Hampir RM100,000
- oleh Mohd Indera
- 3 bulan lalu

Penyanyi popular Naqiu bertindak tegas dengan mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang individu yang didakwa menipu dirinya dan pihak pengurusannya, MindOrder Sdn Bhd, sehingga menyebabkan kerugian hampir RM100,000.
Menurut Naqiu, ini bukan kali pertama beliau berdepan dengan situasi di mana namanya disalahgunakan, namun kali ini beliau merasakan tindakan individu terbabit sudah melampaui batas.
“Sebenarnya, saya tidak berniat untuk memperbesarkan isu ini, tetapi apabila saya berdiam diri, ia memberi ruang untuk saya terus dipermainkan. Dah lah dia menggunakan nama saya, lepas itu cuba pula memburuk-burukkan saya. Jadi, saya rasa sudah tiba masanya untuk saya bertindak,” katanya.
Individu terbabit dikatakan menggunakan nama dan kedudukannya untuk kepentingan peribadi, termasuk mendapatkan penajaan barang-barang tertentu, menggunakan khidmat Naqiu sebagai penulis lagu tanpa bayaran, dan menyebarkan cerita palsu bahawa Naqiu memaksa individu tersebut untuk menyanyi.
“Logikkah saya memaksa seseorang tanpa bakat untuk menyanyikan lagu saya, sedangkan saya langsung tidak menerima sebarang bayaran? Apabila saya menyiasat perkara ini dengan pihak pengurusan, saya terkejut dengan apa yang telah berlaku di belakang saya. Banyak perkara yang dia sudah buat tanpa pengetahuan saya,” kata Naqiu kepada media selepas majlis perlancaran single terbaru beliau bertajuk Khayalan di Kuala Lumpur pada Rabu.
Naqiu juga meluahkan rasa kecewa terhadap gangguan emosi dan mental yang dialaminya akibat tindakan individu itu.
Peguam Naqiu, Aizat Azam, turut menyatakan bahawa walaupun jumlah kerugian tidak mencecah jutaan ringgit, kesan daripada tindakan individu tersebut tetap besar kerana ia melibatkan maruah serta hak anak guamnya sebagai seorang artis.
“Kerugian ini bukan hanya dari segi kewangan tetapi juga emosi dan mental. Kita tidak mahu anak guam saya, seorang artis, dipergunakan sewenang-wenangnya. Kami memberi tempoh 14 hari kepada individu terbabit untuk menjawab LOD. Jika tiada tindakan, kami tidak teragak-agak untuk membawa kes ini ke mahkamah,” kata Aizat.
Dengan tindakan undang-undang ini, Naqiu berharap dapat melindungi dirinya dan pengurusannya daripada terus dimanipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Single terbaru Naqiu, Khayalan boleh distrim di semua platform strim digital dan video klip rasmi boleh ditonton di Youtube Indigital Music.
Foto Oleh: KopiPlanet