Ikuti Kami:

NAKI & Mitty Zasia Hidang Single Emosi “Lepas Pegangan”

NAKI & Mitty Zasia Hidang Single Emosi “Lepas Pegangan”

Selepas mencipta kejayaan bersama Fahimi menerusi lagu Masa, penyanyi dan penulis lagu Malaysia, NAKI, tampil dengan langkah baharu apabila berkolaborasi bersama bintang muda Indonesia, Mitty Zasia, melalui single penuh emosi berjudul Lepas Pegangan.

Mengangkat tema melepaskan, menerima dan berdamai dengan kenyataan, lagu ini bukan sekadar kisah patah hati, sebaliknya hadir sebagai ruang refleksi untuk pendengar merasai tafsiran tersendiri.

“Bagi saya, lagu ini membawa makna yang cukup mendalam. Bahkan sebelum proses penulisan bermula, saya dan Mitty banyak berkongsi kisah serta pengalaman peribadi masing-masing. Dari situ kami sedar bahawa lagu ini terbuka untuk pelbagai tafsiran, agar setiap pendengar dapat merasa dekat dengannya,” kata NAKI.

Kolaborasi ini tercetus secara spontan ketika NAKI berada di Yogyakarta untuk sebuah writing camp. Pertemuan ringkas di studio Mitty akhirnya mencetuskan idea menghasilkan projek bersama.

“Menariknya, sebaik sahaja saya tiba di lapangan terbang, saya terus menuju ke studio bersama bagasi besar dan memulakan rakaman sehingga lewat malam. Mitty dan pasukannya menyambut saya seperti keluarga,” katanya.

Bagi Mitty, projek ini dianggap istimewa kerana menghadirkan warna baharu muzik serantau.

“Nggak lama sebelum aku ketemu sama Naki, aku baru nulis lagu Lepas Pegangan. Feeling-ku langsung bilang, kayaknya nyawa lagu ini harus featuring. Pas ketemu Naki, aku tawarin lagu ini dan dia langsung tertarik. Kerja bareng Naki vibes-nya santai tapi tetap produktif,” jelas Mitty.

Selain rakaman studio, mereka turut menghasilkan visualizer khas yang dirakam secara berasingan di Malaysia dan Indonesia. Bagi NAKI, pengalaman itu menjadi ruang untuknya berjalan-jalan di sekitar Yogyakarta sambil berkarya.

“Melalui Lepas Pegangan, saya berharap karya ini mampu membuka ruang baharu untuk penggemar muzik Malaysia dan Indonesia mengenali antara satu sama lain,” tambah NAKI.

Single Lepas Pegangan kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital, manakala Official Visualizer boleh ditonton di saluran YouTube rasmi NAKI.

Komen
Loading...