Ikuti Kami:

Najib Dijatuhi Hukuman Penjara 72 Tahun, Denda RM210 Juta

Najib Dijatuhi Hukuman Penjara 72 Tahun, Denda RM210 Juta

Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara berjumlah 72 tahun dan denda RM210 juta terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun setelah Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali memerintahkan hukuman penjara itu dilaksanakan serentak.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta sehingga rayuan diputuskan.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bagaimanapun mengenakan syarat tambahan iaitu wang jaminan ditambah RM1 juta menjadikan ia RM2 juta.

Beliau memerintahkan jaminan dibayar esok dengan dua penjamin.

Selain itu Najib juga diarahkan melaporkan diri ke balai polis terdekat dua kali sebulan pada setiap 1 hari bulan dan 15 hari bulan.

Ahli Parlimen Pekan itu dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap tiga pertuduhan kes CBT dan setiap kes pengubahan wang haram manakala 12 tahun penjara serta denda RM210 juta, atau penjara lima tahun dalam kes menyalahguna kedudukan.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu setelah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap kesemua pertuduhan terhadap Najib, 67.

Mengikut pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya, Najib sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia, didakwa menggunakan kedudukannya untuk melakukan rasuah membabitkan RM42 juta menerusi penglibatan atau penyertaannya dalam keputusan untuk menyediakan jaminan kerajaan bagi pinjaman yang dipohon daripada KWAP oleh SRC yang berjumlah RM4 bilion.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Perdana Menteri, Presint 1, Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 17 Ogos 2011 dan 8 Feb 2012.

Foto : Agensi.

Komen
Loading...