IKLAN

Najib Didapati Bersalah Terhadap Semua Pertuduhan Kes SRC

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak didapati bersalah terhadap ketujuh-tujuh pertuduhan melibatkan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kuasa melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu setelah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap kesemua pertuduhan terhadap Najib, 67.

“Oleh itu saya mendapati tertuduh bersalah dan mensabitkan tertuduh terhadap kesemua tujuh pertuduhan,” kata hakim itu.

Bagi dua pertuduhan CBT, Najib sebagai seorang ejen dan penjawat awam iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia serta Penasihat Emeritus SRC International Sdn Bhd (SRC), didakwa menyeleweng RM27 juta dan RM5 juta daripada dana sebanyak RM4 bilion milik SRC.

Beliau didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Kumpulan Ambank, No 55, Jalan Raja Chulan di sini antara 24 Dis 2014 dan 29 Dis 2014.

IKLAN

Bagi pertuduhan ketiga, Najib didakwa menyeleweng RM10 juta daripada RM4 bilion milik SRC di tempat sama antara 10 Feb 2015 dan 2 Mac 2015.

Ketiga-tiga pertuduhan adalah di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman maksimum penjara 20 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya, Najib sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia, didakwa menggunakan kedudukannya untuk melakukan rasuah membabitkan RM42 juta menerusi penglibatan atau penyertaannya dalam keputusan untuk menyediakan jaminan kerajaan bagi pinjaman yang dipohon daripada KWAP oleh SRC yang berjumlah RM4 bilion.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Perdana Menteri, Presint 1, Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 17 Ogos 2011 dan 8 Feb 2012.

Sumber : Bernama.

Jom like Facebook & follow Twitter mDaily bagi mendapatkan berita hangat dan terkini di seluruh dunia.

IKLAN