Nafi Letak Air Rendaman Kaki, Janggut Dalam Makanan, Pekerja Restoran GISBH Bersumpah
- oleh Mohd Indera
- 4 minggu lalu
SHAH ALAM – Pekerja Restoran Ikhwan Delights Sungai Penchala, Kuala Lumpur bersumpah menafikan restoran itu meletakkan air rendaman kaki, janggut, bulu dan sebagainya dalam makanan kepada pelanggan.
Menerusi rakaman video berdurasi 46 saat itu, empat pekerja terbabit menjelaskan perkara itu tidak benar seperti yang tular di seluruh negara.
Menurut mereka, restoran itu berdaftar di Kuala Lumpur bawah bimbingan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).
“Kami menafikan tuduhan yang dibuat dan dilemparkan berkaitan beberapa isu yang diperkatakan di Malaysia.
“Kami berani bersumpah atas nama ALLAH dan rasul, ‘Wallahi Wabillahi Watallahi’,” katanya.
Menerusi video itu juga, mereka menjelaskan segala keterangan bersumpah itu benar dan sedia menerima hukuman daripada ALLAH.
“Jika kami berbohong ALLAH akan melaknat kami walaupun dengan isu ini kami akan terjejas dan terkesan.
“Kami berharap masyarakat di luar sana boleh menilai sendiri apa yang sedang berlaku,” tambah beliau.