Nadin Amizah Tampil Matang dan Penuh Emosi Dalam Showcase Orkestra di Zepp KL
- oleh Mohd Indera
- 46 saat lalu

Penyanyi dan penulis lagu terkenal Indonesia, Nadin Amizah, sekali lagi memukau peminat tempatan menerusi showcase istimewanya bertajuk “Malam Mendengar Nadin Amizah” yang berlangsung penuh emosi dan keindahan di Zepp Kuala Lumpur malam tadi.
Showcase anjuran Renjana Idea itu mencatat sejarah tersendiri apabila ia menyaksikan kemunculan orkestra penuh mengiringi persembahan Nadin yang melibatkan 40 pemuzik dari Jakarta menjadikan ia persembahan paling megah pernah dibawakan artis muda itu di Malaysia.
Berbeza dengan persembahan asal di Jakarta yang lebih santai dengan penonton berbaring, format di Kuala Lumpur lebih formal namun tidak mengurangkan keintiman dan kekuatan naratif lagu-lagu yang dipersembahkan.
Di bawah arahan pengarah muzik Lasta Pratom, setiap susunan muzik diberi nafas baharu tanpa menjejaskan identiti asal lagu. Lasta turut bertindak sebagai penggubah keseluruhan persembahan dan menyifatkan pengalaman ini sebagai antara pencapaian terbaik dalam kerjayanya.
“Sepanjang hidup saya, ini baru kali pertama saya mempersembahkan lagu-lagu saya secara orkestra, dan ia berlangsung di Jakarta dengan tajuk yang sama, Malam Berdengar. Ini adalah kali kedua saya membawakannya, dan buat pertama kali di Malaysia,” kata Nadin sambil mengucapkan terima kasih kepada peminat yang memenuhi ruang Zepp KL.
Nadin tampil dengan imej baharu berambut perang dan gaya yang lebih berani selari dengan pemilihan lagu yang menampilkan sisi lebih dewasa dan reflektif dalam perjalanan seninya.
Persembahan malam tadi merangkumi pelbagai lagu hit dan pilihan penting dalam diskografi Nadin antaranya termasuklah “Sorai”, “Semua Aku Dirayakan”, “Di Akhir Perang”, diikuti dengan “Rumpang” dan “Teralih Kekal”. Lagu-lagu “Bertaut” dan “Hormat Kepada Angin” turut mengisi perjalanan muzik yang mendalam itu.
Antara detik paling dinanti ialah persembahan lagu “Rayuan Perempuan Gila” sebuah lagu yang sangat popular dan amat diminati peminat di Malaysia. Lagu ini disambut dengan sorakan gemuruh dan menjadi titik kemuncak emosional dalam showcase tersebut.
Penonton kemudian dibawa melalui lagu seperti “Star”, “Tawa”, “Mendarah” serta “Menangis Dan Selesai Cermin”. Persembahan diserikan lagi dengan lagu “Bunga Tidur”, “Seperti Tulang” dan kemuncaknya diakhiri dengan “Sorak Sorai” yang memberikan penutup penuh emosi dan tepukan gemuruh dari para hadirin.
Dengan gabungan vokal halus penceritaan puitis dan kekuatan susunan orkestra, Malam Mendengar Nadin Amizah di Kuala Lumpur bukan sekadar konsert ia adalah persembahan jiwa yang menyentuh dan membekas dihati peminat.