Ikuti Kami:

Nadin Amizah Live in KL: Persembahan Intim dengan Gubahan Orkestra

Nadin Amizah Live in KL: Persembahan Intim dengan Gubahan Orkestra

Penyanyi dan penulis lagu berbakat dari Indonesia, Nadin Amizah, bakal mengadakan konsert istimewa bertajuk Nadin Amizah Live in KL: Persembahan Intim dengan Gubahan Orkestra selepas menerima permintaan tinggi daripada peminatnya di Malaysia.

Konsert eksklusif ini akan berlangsung pada 16 Mei 2025, jam 8 malam, di Zepp Kuala Lumpur.

Selepas kejayaan Malam Mendengar di Jakarta tahun lalu, Nadin kini membawa pengalaman tersebut ke pentas Malaysia dengan sentuhan baharu yang lebih segar dan emosional.

Buat pertama kali, penyanyi yang terkenal dengan lirik puitis dan penuh makna ini akan mempersembahkan lagu-lagunya dalam susunan muzik orkestra, memberikan nuansa yang lebih mendalam dan berbeza daripada penampilan sebelum ini.

“Saya ingin menghadirkan sesuatu yang istimewa buat peminat di Malaysia. Persembahan ini bukan sekadar konsert biasa, tetapi sebuah pengalaman yang membawa pendengar lebih dekat dengan muzik dan emosi yang ingin saya sampaikan,” ujar Nadin.

Dengan susunan muzik yang lebih matang dan atmosfer yang lebih intim, Nadin Amizah Live in KL dijangka menjadi sebuah peristiwa yang tidak boleh dilepaskan oleh peminat muzik indie dan alternatif.

Penganjur dari Renjana Idea, Siti Azlina, menyatakan bahawa persembahan ini bukan sekadar hiburan, tetapi sebuah pengalaman seni yang penuh emosi.

“Kami sangat teruja membawa Nadin Amizah Live in KL kerana ini lebih daripada sekadar persembahan pentas. Ia adalah perjalanan muzik yang mendalam dan mendekatkan Nadin dengan peminatnya dalam suasana yang lebih eksklusif dan bermakna,” kata Siti Azlina.

Nadin Amizah bukan nama asing di Malaysia, dengan lagu-lagu seperti Rumpang dan Sorai sering menjadi siulan para peminat.

Konsert ini bukan sahaja akan membawa perjalanan nostalgia, tetapi juga memberikan peluang kepada peminat untuk menikmati karya Nadin dalam susunan yang lebih epik dan emosional.

Tiket bagi Nadin Amizah Live in KL sudah mula dijual pada 12 Februari 2025 dan boleh didapati di www.golive-asia.com. Harga tiket adalah seperti berikut:

– Tawa (RM658)
– Sorak Sorai (RM258)
– Sorai (RM238)
– Kekal (RM248)
– Bunga Tidur (RM178)

Tambahan RM298 bagi peminat yang ingin menyertai sesi Meet & Greet bersama Nadin Amizah.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Nadin Amizah Live in KL—sebuah persembahan yang bukan sahaja merdu di telinga, tetapi juga menyentuh hati.

Komen
Loading...