Nadia Rosli Pertaruhkan Single Berentak Hype Beat Bersama Ucie Sucita
- oleh MDaily Editor
- 13 Apr 2026 12:45 pm
Penyanyi muda yang kian meningkat naik, Nadia Rosli, membuktikan keberaniannya untuk berevolusi apabila tampil dengan single terbaharu berjudul Aduh Gak Kuat.
Istimewanya, naskhah kali ini menyaksikan Nadia keluar daripada zon selesa dengan mempertaruhkan genre ‘hipdut’ gabungan elemen hip-hop dan dangdut selain menjalinkan kolaborasi strategik bersama bintang seberang, Ucie Sucita.
Menurut Nadia, pemilihan genre yang lebih ceria dan bertenaga itu merupakan sebahagian daripada perancangan untuk memperlihatkan sisi playful dalam perjalanan seninya, sekali gus memastikan kehadirannya kekal relevan dalam industri muzik serantau.
“Saya terbuka untuk mencuba apa sahaja genre. Saya mahu meneroka sebanyak mungkin peluang supaya tidak hanya berada dalam zon selesa. Melalui Aduh Gak Kuat, saya tampilkan tenaga yang lebih positif dan santai,” katanya dalam satu kenyataan.
Lagu ciptaan Giant Prayash Trinanda dan Nabil Adesya Putra ini bukan sekadar menawarkan hiburan, malah disusun dengan hype beat yang mempunyai potensi besar untuk mencetuskan trend di platform media sosial.

Jelas Nadia, beliau melihat kekuatan susunan muzik garapan Aji Suherri ini mampu menarik perhatian pengguna TikTok, khususnya melalui segmen yang sesuai untuk kandungan ‘velocity trend’.
Mengulas mengenai tema lagu, Aduh Gak Kuat mengangkat naratif luahan perasaan cinta yang mendalam dengan suntikan elemen humor.
Antara yang mencuri tumpuan adalah lirik yang kedengaran bersahaja namun berani seperti, “gunting, batu, kertas dulu, kalau aku menang, kita ke penghulu.”
“Sangat penting untuk kita berani meluahkan perasaan supaya kita tahu sama ada ia berbalas atau tidak. Ia juga mendidik kita untuk jujur pada diri sendiri daripada memendam rasa terlalu lama,” tambah Nadia lagi.
Bagi memastikan vibe lagu ini sampai kepada pendengar, Nadia mengakui membina mood rakaman dengan membayangkan momen bahagia bersama keluarga dan rakan-rakan bagi menghidupkan tenaga yang diperlukan.
Menerusi kerjasama dengan Ucie Sucita, Nadia berharap kolaborasi ini bukan sahaja mampu menceriakan hari para pendengar, malah menjadi jambatan untuknya mengukuhkan kedudukan dalam pasaran muzik nusantara.
Aduh Gak Kuat kini sudah tersedia untuk dinikmati di semua platform penstriman digital bermula hari ini.
