Ikuti Kami:

Nadhif Basalamah, Aziz Harun Dan Aisha Retno Antara Artis Latihan Pestapora Malaysia 2026

Nadhif Basalamah, Aziz Harun Dan Aisha Retno Antara Artis Latihan Pestapora Malaysia 2026

Penyanyi popular seberang, Nadhif Basalamah dan Aziz Harun bersama bintang meningkat naik tempatan Aisha Retno diumumkan antara barisan artis utama yang bakal menghangatkan festival muzik rentas budaya, Latihan Pestapora Malaysia 2026 pada Ogos depan.

Festival yang dijadualkan berlangsung pada 15 Ogos 2026 di Stadium Hoki Nasional itu bakal menyaksikan kolaborasi eksklusif tiga penjuru antara ketiga-tiga artis berkenaan dalam satu persembahan khas serumpun.

Penganjur bersama yang juga Ketua Projek Khas Hitman Solutions, Encik Keerand D berkata, pemilihan barisan artis bagi edisi kedua ini dibuat khusus berdasarkan cita rasa dan permintaan peminat di negara ini.

“Kami mahu memastikan barisan artis tahun ini benar-benar mencerminkan apa yang peminat ingin lihat dan alami sendiri, bukan sekadar besar dari segi nama, tetapi juga bermakna dari segi pengalaman,” katanya dalam satu sidang media di Royal Selangor Club, di sini, semalam.

Selain gandingan Nadhif, Aziz, dan Aisha, festival anjuran Hitman Solutions dan Boss Creator itu turut menampilkan nama-nama besar dari Indonesia termasuk Tulus, Romantic Echoes, Juicy Luicy, Bernadya, Mahalini, Maliq & D’Essentials, dan Raja Dangdut, Rhoma Irama Soneta.

Sementara itu, landskap muzik tempatan turut diperkukuhkan dengan kehadiran kumpulan serta penyanyi terkenal seperti Masdo, Insomniacks, Gerhana Skacinta, dan FUGŌ.

Mengulas mengenai penganjuran tahun ini, Ketua Pegawai Edsekutif Hitman Group, Encik Rohit Rampal berkata, sambutan luar biasa terhadap jualan tiket ‘Blind Sale’ baru-baru ini membuktikan kekuatan jenama festival berkenaan di Malaysia.

“Membawa Latihan Pestapora ke Malaysia merupakan satu pencapaian besar buat kami. Ia bukan sahaja kejayaan dari sudut penganjuran, tetapi juga satu kejayaan budaya apabila kami berjaya memperkenalkan sebuah festival antarabangsa yang diterima baik oleh peminat tempatan,” katanya.

Bagi memastikan keselesaan pengunjung, pihak penganjur turut mengumumkan beberapa penambahbaikan fasiliti di tapak festival, termasuk penyediaan stesen air percuma di seluruh kawasan stadium.

Latihan Pestapora Malaysia 2026 dianjurkan dengan sokongan Visit Malaysia 2026, bersama Perbadanan Stadium Malaysia sebagai rakan venue rasmi.

Tiket kini boleh didapati menerusi laman web rasmi di www.latihanpestaporamalaysia.com.