Ikuti Kami:

Nadeera Zaini Cipta Sejarah, Layak ke AJL39 – “Usaha Tidak Mengkhianati Hasil”

Nadeera Zaini Cipta Sejarah, Layak ke AJL39 – “Usaha Tidak Mengkhianati Hasil”

Penyanyi lagu Bukan Lagi Kita, Nadeera Zaini, melakar sejarah peribadi apabila berjaya melayakkan diri ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39).

Penyanyi berusia 31 tahun itu tidak dapat menyembunyikan rasa terharunya, menyifatkan pencapaian ini sebagai detik yang telah lama dinantikannya.

“Sudah semestinya saya sangat-sangat terharu. Ini merupakan kali pertama saya menjejakkan kaki ke separuh akhir, dan akhirnya ke AJL39. Sudah lama saya menunggu saat ini.

“Saya tahu ia bukan perjalanan mudah, apatah lagi nak menempa nama sebagai seorang anak seni,” katanya dengan penuh emosi ketika ditemui pada sidang media SFMM39 hari kedua.

Menurut Nadeera, perjuangannya dalam industri muzik dipenuhi cabaran, menjadikan detik ini lebih bermakna.

“Hari ini adalah hari yang sangat bahagia untuk diri saya sebab yang tahu sahaja tahu betapa susahnya saya nak sampai ke tahap ini.

“Tuhan sahaja yang tahu betapa saya inginkan… yang saya tunggu-tunggu. Saya sangat lega hari ini, bagi saya ini adalah anugerah. Alhamdulillah,” tambahnya lagi.

Ditanya mengenai peluangnya untuk meraih kemenangan di AJL39, Nadeera bersikap realistik dan menyerahkan segalanya kepada takdir.

“Siapa yang tak mahukan kemenangan? Tetapi saya tidak meletakkan harapan. Dapat masuk ke AJL pun saya sudah terlalu bersyukur. Menang atau kalah, saya sudah tak kisah. Yang pastinya, saya sudah ke pentas ini,” ujarnya.

Mengakhiri temu bual, Nadeera menekankan bahawa fokus utamanya adalah untuk memberikan persembahan terbaik sambil menikmati setiap momen berharga ini.

“Saya buat yang terbaik dan percaya kepada rezeki yang Allah bagi. Saya tak mahu terlalu stres dan mahu menikmati momen ini. Saya percaya usaha tidak akan mengkhianati hasil,” katanya dengan penuh rasa syukur.

Untuk makluman, kesemua 30 lagu yang bertanding di SFMM39 diadili oleh barisan juri profesional, antaranya Edry Abdul Halim, Datuk Mokhzani Ismail, Efry Arwis, Ly Baiduri, Helen Yap, dan Ad Samad.

Daripada 30 lagu itu, hanya 10 lagu berjaya mara ke pentas AJL39, iaitu:

  1. Diam (Hael Husaini)
  2. Puas Sudah (Aina Abdul)
  3. Hening Rindu (Marsha Milan)
  4. Aura (Ernie Zakri)
  5. Terus Bersinar (Hafiz Shuib)
  6. Pujaanku (Masdo ft Aisyah Aziz)
  7. Risiko (Benzooloo ft Tuju & MK K-Clique)
  8. Sengaja (Amir Masdi)
  9. Saksama (Akim & The Majistret)
  10. Bukan Lagi Kita (Nadeera Zaini)
Komen
Loading...