Ikuti Kami:

Nadeera Fokus AJL, Enggan Layan Gosip

Nadeera Fokus AJL, Enggan Layan Gosip

Penyanyi Nadeera menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengaitkannya dalam kontroversi terbaru yang menjadi bualan ramai.

Nadeera menyatakan bahawa beliau tidak mahu terlibat dalam isu rumah tangga pihak lain atau gosip yang tidak berasas.

“Rumah tangga orang, saya memang tak nak komen apa-apa. Memang bukan saya, saya nafikan semahunya,” tegas Nadira.

Apabila ditanya sama ada terdapat pihak yang mungkin cuba menjatuhkannya, Nadira mengakui perkara itu mungkin berlaku. Namun, beliau tidak mahu terlalu memikirkan hal tersebut.

“Mungkin ya, kita tak tahu kan. Tapi apa-apa pun, saya tak peduli pasal benda tu. Fokus saya sekarang adalah untuk AJL,” katanya.

Nadeera atau nama penuhnya Farah Nadeera Zain, juga menjelaskan bahawa keluarganya memahami situasi tersebut dan tidak terpengaruh dengan gosip.

“Alhamdulillah, keluarga saya okey. Mereka faham mungkin ini hanya gosip untuk menghangatkan keadaan,” tambahnya.

Nadeera ditemui media selepas sidang media Gempak Most Wanted Awards 2024 (GMWA2024) di Didi Cinema pada Rabu.

Dalam sidang media tersebut, Nadeera telah diumumkan sebagai penyanyi lagu tema GMWA2024 bersama Hael Husaini.

Mengulas lanjut mengenai kesiapannya menghadapi Anugerah Juara Lagu (AJL), Nadeera menegaskan bahawa kontroversi ini tidak mengganggu fokusnya.

“Saya tak ambil kisah pasal benda-benda macam ni sebab saya tengah fokus pada persiapan AJL. Lantaklah orang nak cakap apa, saya tahu saya tak salah,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa sebagai seorang artis, beliau ingin menjaga imej bersih dan tidak mahu terlibat dalam sebarang isu yang boleh mencetuskan kontroversi.

“Saya bukan jenis yang suka cari masalah. Saya hanya mahu terus maju dalam kerjaya tanpa melayan gosip-gosip yang tak penting,” ujar Nadeera.

Nadeera dijangka tampil di pentas AJL dengan persembahan yang dijanjikan bakal memukau peminat, sekaligus membuktikan fokus dan dedikasinya dalam industri muzik.

Komen
Loading...