Ikuti Kami:

Nadeera Akui Lebih Yakin Selepas Turun Berat Badan, Nafi Ambil Produk Terlarang

Nadeera Akui Lebih Yakin Selepas Turun Berat Badan, Nafi Ambil Produk Terlarang

Penyanyi Nadeera tampil menjelaskan mengenai transformasi tubuhnya yang kini lebih kurus, yang diakui tercapai sepenuhnya melalui kaedah senaman dan pemakanan terkawal tanpa penggunaan sebarang makanan tambahan atau dadah.

Menurut Nadeera, proses menurunkan berat badannya berlaku secara semula jadi selama kira-kira tiga bulan. Berkat disiplin yang tinggi, berat badannya turun dari 46kg kepada 43kg.

“Saya memang tidak ambil apa-apa makanan tambahan ataupun dadah, saya kurus sebab bersenam dan jaga makan,” jelas Nadeera ketika ditemui pada sidang media Futureland Festival hari ini.

Penyanyi berusia 25 tahun ini, yang berketinggian 145 sentimeter, mengakui bahawa dia pernah menerima kritikan mengenai penampilan fizikalnya, termasuk komen tidak menyenangkan yang menyamakan wajahnya dengan binatang.

Komen-komen tersebut, menurut Nadeera, menjadi antara pendorongnya untuk menurunkan berat badan.

“Dulu orang cakap tak cantik dan samakan muka dengan binatang. Itulah salah satu punca saya nak kurus,” kata Nadeera.

Tambahan pula, transformasi tubuhnya yang lebih ramping kini membuatkan dirinya berasa lebih yakin.

“Sampai sekarang saya tak sentuh air bergula dan ambil coklat bila badan terasa lemah,” tambahnya.

Meskipun sering menghadapi masalah kecemasan (anxiety), Nadeera bijak mengendalikan keperluan badannya, memastikan dia tetap berenergi untuk menyanyi dengan memakan coklat jika perlu.

“Saya memang ada anxiety tapi walaupun tak makan, ia tak menjejaskan kerana kita tau badan kita,” jelasnya.

Seiring penurunan berat badan, Nadeera turut merasa perubahan dari segi keyakinan diri, termasuk pemakaian pakaian saiz yang lebih kecil.

Pada majlis sidang media tersebut, Nadeera diumumkan sebagai salah seorang penyanyi yang akan menghiburkan peminat di festival muzik berkenaan, bersama artis-artis lain seperti Kugiran Masdo, Wani Kayrie, Tuju, Zynakal, Fimie Don, dan Hael Husaini.

Komen
Loading...