Nabila Razali Umum Kehamilan Sulung: “Fasa Baharu Penuh Kegembiraan”
- oleh Mohd Indera
- 4 minggu lalu
Penyanyi dan pelakon terkenal, Nabila Razali, mengejutkan peminat dengan khabar gembira mengenai kehamilan anak sulungnya, yang dijangka akan dilahirkan pada Januari tahun depan.
Dalam satu kenyataan, Nabila, 32, atau nama sebenar Nur Nabila Mohd Razali, meluahkan rasa syukur dan teruja atas anugerah ini yang diterima bersama suaminya, Nik Iruwan Nik Izani, 39.
“Alhamdulillah, saya dan suami sangat bersyukur dengan rezeki ini dan terima kasih atas doa dan sokongan semua. Ini adalah saat yang sangat membahagiakan buat kami berdua dan kami tidak sabar untuk berkongsi perjalanan ini dengan semua yang sudah menyokong kerjaya dan kehidupan saya,” katanya.
Figura kesayangan ramai yang popular menerusi lagu “Tangis” memberitahu kerjaya seni masih diteruskan dengan pelbagai perancangan menarik yang sudah dirangka.
Nabila Razali mengakui bahawa dia cepat penat dan lebih banyak berehat sekarang berbanding sebelum ini ketika bekerja. Walaupun merasakan keinginan untuk tidur, dia tetap komited dalam bidang seni dan berusaha untuk menyelesaikan kerja-kerja yang telah dirancang.
Nabila berkata, dengan sokongan daripada keluarga, rakan-rakan, dan peminat setia, dia yakin fasa ini akan menjadi satu lagi bab indah dalam kehidupannya.
“Fasa ini sebagai titik permulaan dengan kesyukuran dan kegembiraan, di mana setiap detiknya menjadi satu pengalaman berharga yang pasti akan diabadikan dalam memori kehidupan sebagai satu bab yang penuh keindahan dan pengisian makna.” katanya.
Nabila Razali bersyukur kerana tidak mengalami keinginan melampau atau alahan teruk sepanjang kehamilannya. Dia menyatakan bahawa perubahan yang dialaminya adalah biasa bagi wanita hamil, terutama peningkatan selera makannya. Nabila bertekad untuk menikmati perjalanan kehamilan ini.
Terdahulu, Nabila dan suami selamat melangsungkan perkahwinan pada 18 November tahun lalu.