Nabila Razali ‘Tak Sabar Nak Raya!’, Berganding Bersama Nabil Ahmad
- oleh MDaily Editor
- 26 Feb 2026 1:25 pm
Selepas mencetuskan fenomena menerusi lagu Raya Mana? dua tahun lalu, penyanyi popular Nabila Razali kembali memeriahkan suasana Aidilfitri tahun ini dengan pelancaran single terbaharu berjudul TAK SABAR NAK RAYA!.
Menariknya, karya kali ini turut menampilkan pengacara dan pelawak terkenal, Haji Nabil Ahmad, sebagai artis penampilan khas yang memberikan impak jenaka dan keceriaan unik di dalam lagu tersebut.
Nabila, atau lebih mesra disapa Bella, menyifatkan kolaborasi bersama Nabil Ahmad sebagai satu pengalaman yang sangat menyenangkan dan profesional.
“Bekerja dengan Haji Nabil sangat mudah kerana beliau tahu fungsinya. Sewaktu sesi rakaman, beliau banyak memberikan input dan idea spontan untuk menjadikan lagu ini lebih menarik.
“Bella yakin kehadiran beliau akan memberikan impak besar dan elemen ‘fun’ kepada pendengar,” katanya pada majlis sidang media dan berbuka puasa pelancaran single tersebut di Matrade, baru-baru ini.
Meskipun dilancarkan selepas kejayaan Raya Mana?, lagu TAK SABAR NAK RAYA! bukanlah sebuah kesinambungan, sebaliknya bertindak sebagai prekuel yang melengkapkan penceritaan raya Nabila.

Lagu ciptaan Brendan Lim Seng Meng, Denise Chan Li-Hsia, Foong Le Xin, dan Asyraf Nasir ini menceritakan suasana keriuhan sambutan Aidilfitri sewaktu Nabila masih belum bergelar isteri.
“Dalam lagu sebelum ini, Bella dilema tidak tahu nak balik kampung mana selepas berkahwin. Tetapi dalam lagu baharu ini, ia mengisahkan perjalanan hidup Bella semasa masih tinggal bersama bapa dan abang-abangnya sebelum merantau ke bandar.
“Ia juga menjadi ‘titik pertemuan’ Bella dengan watak Aizat Saha yang turut muncul dalam muzik video (MV) kali ini,” jelasnya lagi.
Dari aspek teknikal, kumpulan produser tersohor MFMF bertindak sebagai penyusun muzik. Nabila turut menyumbang idea dengan meminta elemen ‘joget lambat’ serta sebutan ‘ea ea ea’ dimasukkan dalam struktur lagu agar lebih mesra peminat dan mudah diingati.
Komposer Brendan Lim mengakui wujud tekanan untuk menghasilkan karya yang mampu menandingi kejayaan lagu raya Nabila sebelum ini, namun mereka fokus kepada keikhlasan dan tenaga ceria vokal Nabila.
“Fokus kami adalah menghasilkan lagu yang jujur dan relevan dengan pengalaman sebenar rakyat Malaysia yang sentiasa berdebar dan teruja setiap kali menjelang satu Syawal,” ujar Brendan.
Selain Nabil Ahmad dan Aizat Saha, MV TAK SABAR NAK RAYA! turut dimeriahkan dengan kehadiran pempengaruh media sosial seperti Aggy, King Oyen, dan Adik Yusuf.
Lagu terbitan Nabila Razali Entertainment dengan kerjasama Sony Music Entertainment Malaysia ini boleh mula didengari di semua platform digital bermula 27 Februari 2026.




