Ikuti Kami:

Nabila Razali Semarakkan Pesta Kekeluargaan BMC Family 360°

Nabila Razali Semarakkan Pesta Kekeluargaan BMC Family 360°

Penyanyi popular tanah air, Nabila Razali bakal menjadi tarikan utama apabila dilantik sebagai Jurucakap Acara BMC Family 360°, sebuah pesta dan karnival keluarga berskala besar yang akan berlangsung pada 19 hingga 21 September 2025 di BMC Mall, Bandar Mahkota Cheras.

Sebagai ikon generasi muda yang berpengaruh, Nabila Razali dipilih kerana personaliti serta keperibadiannya yang dekat dengan keluarga dan anak muda.

Beliau akan memeriahkan acara melalui persembahan khas, sesi bertemu peminat (meet & greet) serta menyertai kempen promosi menjelang hari penganjuran.

“Sebagai seorang ibu, isteri dan wanita kerjaya, saya percaya UN SDG membantu saya dan keluarga membina kehidupan yang mampan serta sejahtera,”

“Ia bukan sekadar tentang alam sekitar, tetapi juga melibatkan sosial dan ekonomi. Saya berbangga kerana diberi peluang menjadi sebahagian daripada acara yang meraikan kekuatan institusi keluarga ini,” kata Nabila.

Acara BMC Family 360° dijangka menarik lebih 10,000 pengunjung sepanjang tiga hari dengan pelbagai aktiviti menarik untuk seisi keluarga termasuk pameran dan showcase oleh agensi kerajaan, swasta dan NGO, segmen esports, pertunjukan kebudayaan, mini zoo, serta pameran inovasi melibatkan pendidikan, teknologi, kesihatan, makanan dan gaya hidup lestari.

Menurut CEO AI Global, Prof. Dr. Ng Kheng Lun, acara ini bukan sekadar karnival hiburan tetapi platform komuniti yang penting.

“BMC Family 360° melambangkan langkah pertama ke arah masa depan yang mampan dan harmoni. Walaupun kecil, ia adalah langkah yang sangat bermakna,” ujarnya.

Acara anjuran AI Global dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), BMC Mall, iBidan dan CelcomDigi ini mengetengahkan tema “A Step to the Future” dengan objektif memperkukuh nilai kekeluargaan, komuniti mampan serta gaya hidup pintar, berlandaskan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN SDG).

Acara ini akan berlangsung pada 19 hingga 21 September 2025 bermula 10 pagi hingga 10 malam di BMC Mall, Bandar Mahkota Cheras dan menjadi salah satu festival keluarga terbesar di Lembah Klang tahun ini.

Komen
Loading...