Ikuti Kami:

Mystika Pertaruh ‘Masa Lalu’, Kongsi Sisi Emosi Alternatif Rock

Mystika Pertaruh ‘Masa Lalu’, Kongsi Sisi Emosi Alternatif Rock

Kumpulan muzik meningkat naik, Mystika, secara rasmi melancarkan single terbaharu mereka berjudul Masa Lalu yang membawakan genre alternatif rock dengan pengisian emosi yang mendalam.

Kumpulan yang dianggotai oleh Ijam (vokalis), Ayen (gitaris), dan Am (pemain dram) ini mempertaruhkan naskhah yang menyentuh tentang memoir silam, sisa penyesalan, serta konflik jiwa yang sering membelenggu individu apabila sukar melepaskan memori lama.

Menurut Ijam, vokalis kumpulan itu, Masa Lalu bukan sekadar sebuah lagu, sebaliknya ia merupakan refleksi terhadap realiti kehidupan yang merangkumi fasa kehilangan dan penerimaan.

“Single ini dihasilkan sebagai medium luahan perasaan terhadap pengalaman hidup, khususnya mengenai bagaimana seseorang itu berdepan dengan kerinduan dan akhirnya belajar menerima apa yang telah berlaku.

“Kami menganggap Masa Lalu sebagai langkah penting untuk memperkenalkan identiti sebenar Mystika kepada peminat seni suara dan industri muzik tempatan secara amnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Dari segi teknikal, Masa Lalu menonjolkan susunan muzik yang lebih matang dan kemas. Kekuatan vokal Ijam yang penuh penghayatan menjadi tunjang utama dalam menyampaikan naratif lagu ini agar sampai ke hati pendengar.

Gabungan elemen alternatif rock yang diadun dengan melodi melankolik menjadikan karya ini mudah dihayati oleh pelbagai lapisan usia, terutama mereka yang pernah melalui fasa sukar dalam hubungan atau kehidupan.

Lagu Masa Lalu kini sudah boleh didengari di semua platform penstriman digital utama termasuk Spotify dan Apple Music, selain mula mendapat putaran di stesen-stesen radio tempatan.

Peminat yang ingin mengikuti perkembangan seni dan perjalanan karier kumpulan ini boleh mengikuti akaun TikTok rasmi mereka di @mystikaofficial.

Komen
Loading...