Ikuti Kami:

MyBaik Buka Cawangan Pertama di Bandar Seri Putra, Fastfood Muslim Buatan Malaysia Tampil Dengan Identiti Sendiri

MyBaik Buka Cawangan Pertama di Bandar Seri Putra, Fastfood Muslim Buatan Malaysia Tampil Dengan Identiti Sendiri

Jenama makanan segera tempatan MyBaik secara rasmi membuka cawangan pertamanya di Bandar Seri Putra menandakan kemunculan sebuah jenama fastfood Muslim buatan Malaysia yang tampil dengan cita rasa dan identiti tersendiri.

MyBaik diasaskan oleh Dato’ Hifdzi Hamzah, seorang bekas peguam korporat berpengalaman lebih 20 tahun yang kini menukar haluan hidup untuk membina legasi dalam industri makanan halal tempatan.

Menurut Dato’ Hifdzi, idea menubuhkan MyBaik tercetus selepas beliau melihat potensi besar dalam pasaran makanan segera tempatan yang masih dikuasai jenama luar.

“Kerjaya sebagai peguam memang serius dan menuntut komitmen tinggi. Selepas dua dekad saya rasa sudah tiba masa mencari sesuatu yang lebih dekat dengan masyarakat. Sebelum MyBaik saya sudah ada restoran nasi Arab dan dari situ saya nampak betapa luasnya peluang dalam industri F&B,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran di Bandar Seri Putra, hari ini.

Beliau berkata ramai pengusaha makanan tempatan gagal berkembang kerana hanya beroperasi pada skala kecil tanpa strategi untuk memperluas perniagaan.

“Apabila saya masuk dalam konsep fast food saya nampak potensinya besar kerana modelnya lebih mudah untuk dikembangkan. Resipi sudah standard, tidak perlu chef berkemahiran tinggi dan yang penting ialah sistem operasi yang kukuh,” ujarnya.

MyBaik membawa konsep “Rasa Baik dari Malaysia” yang menekankan tiga nilai utama iaitu rasa yang baik, layanan yang baik dan niat yang baik. Semua resipi dikembangkan oleh anak tempatan dengan cita rasa Malaysia, pedasnya seimbang, rangupnya memuaskan dan sosnya kena di tekak rakyat.

“Nama MyBaik diambil kerana ‘baik’ itu sendiri membawa makna kebaikan, baik rasa, baik layanan dan baik niat. Kita bukan tiru mana-mana francais luar tapi membina jenama yang 100 peratus lokal, 100 peratus Muslim dan 100 peratus Malaysia,” tegas beliau.

Menariknya, MyBaik menjadi jenama fastfood pertama di Malaysia yang menggabungkan tiga sajian utama iaitu ayam goreng, burger dan pizza dalam satu restoran.

 

Idea itu katanya lahir daripada pemerhatian terhadap keluarga moden yang mempunyai pelbagai selera.

“Kalau satu anak nak burger, seorang lagi nak pizza dan ibu pula nak ayam goreng, semua boleh duduk semeja. Itulah sebab kami cipta Family Platter, konsep makan bersama yang meraikan keakraban keluarga,” jelas Dato’ Hifdzi.

Dalam tempoh tiga bulan pertama operasi, MyBaik di Bandar Seri Putra sudah menerima sambutan hangat daripada penduduk sekitar Bangi, Kajang dan Nilai.

Berdasarkan reaksi positif itu, MyBaik kini merancang membuka cawangan kedua di Presint 15, Putrajaya menjelang hujung tahun ini.

Beliau turut berkongsi sasaran jangka panjang untuk memperluaskan jenama ke seluruh negara.

“Kami menyasarkan 20 outlet beroperasi di seluruh Semenanjung Malaysia menjelang 2026 sebelum berkembang ke Sabah dan Sarawak. Visi kami adalah membina jenama fastfood Muslim yang boleh dibanggakan rakyat Malaysia,” katanya.

Dato’ Hifdzi menegaskan bahawa kejayaan MyBaik bukan semata-mata kerana gelombang boikot produk asing sebaliknya kerana kualiti dan cita rasa makanan yang benar-benar memenuhi selera rakyat tempatan.

“Kita tak mahu diterima hanya sebab boikot tapi kerana rasa dan pengalaman makan yang baik. Kalau orang luar boleh bangga dengan jenama mereka, kenapa tidak kita?” ujarnya.

MyBaik turut memperkenalkan model License Partnership berasaskan prinsip Musyarakah (perkongsian patuh syariah), membolehkan individu menjadi Rakan Niaga MyBaik dengan modal serendah RM50,000 tanpa perlu terlibat dalam operasi harian.

“MyBaik bukan sekadar restoran tapi satu platform membina ekonomi umat Islam. Kita mahu rakyat biasa jadi luar biasa melalui peluang niaga yang patuh syariah dan tersusun,” tambahnya.

Restoran MyBaik Bandar Seri Putra
No. 18-G & 18-2, Jalan Seri Putra 1/2
Bandar Seri Putra, 43000 Kajang, Selangor.

Komen
Loading...