Ikuti Kami:

Mutiara Dalam Debuan Kabus: Zahiril Adzim Jadi Lelaki ‘Red Flags’

Mutiara Dalam Debuan Kabus: Zahiril Adzim Jadi Lelaki ‘Red Flags’

Pelakon versatil Zahiril Adzim kembali memukau peminat drama tempatan menerusi watak terbaharunya sebagai Uzzam dalam drama bersiri Mutiara Dalam Debuan Kabus yang kini bersiaran di slot MegaDRAMA, Astro RIA.

Bersama gandingan pelakon popular Emma Maembong yang memegang watak Aslin, drama terbitan SR One Sdn Bhd ini mula ditayangkan sejak 6 Oktober lalu setiap Isnin hingga Khamis pada jam 10 malam.

Menariknya, karakter Uzzam lakonan Zahiril tampil dengan sisi berbeza iaitu seorang lelaki yang sarkastik, tegas dan sering mempamerkan sifat panas baran terhadap pasangannya hingga dilabel penonton sebagai “lelaki red flags”.

Bagi Zahiril, meskipun wataknya nampak kasar dan kejam, tindakan Uzzam dalam cerita itu mempunyai sebab tersendiri.

“Dia nampak macam red flags tapi apa yang dilakukan adalah sesuatu yang dia rasa wajar terhadap Aslin. Kejahatan Aslin membuatkan dia bangkit dan melawan,” katanya.

Zahiril mengakui cabaran utama membawa watak sebegitu bukan sahaja kerana perlu menonjolkan sisi garang tetapi juga untuk mengawal emosi agar tidak terbawa-bawa dalam kehidupan sebenar.

“Saya sebenarnya jenis yang susah nak marah. Kalau marah pun setakat naik suara sedikit saja. Saya pernah diberitahu supaya jangan marah sebab kalau saya betul-betul meletup kesannya boleh kena pada diri sendiri.

“Tapi untuk watak Uzzam ini saya kena jadi tegas dan garang. Hakikatnya saya tak pernah bawa watak red flags ke rumah sebab di rumah saya ada penyejuk hati,” katanya.

Selain itu, Zahiril turut berkongsi cabaran besar lain dalam menjayakan drama 24 episod ini iaitu dialog yang panjang dan berat dalam hampir setiap babak.

“Hampir semua adegan ada dialog panjang yang perlu dihafal. Setiap hari kami jalani penggambaran dengan 18 hingga 19 babak, semuanya banyak bercakap. Ia satu pengalaman baru bagi saya,” jelasnya.

Mutiara Dalam Debuan Kabus menjanjikan kisah sarat emosi, konflik dan pengajaran tentang hubungan manusia yang kompleks. Saksikan lakonan penuh jiwa Zahiril Adzim dan Emma Maembong setiap Isnin hingga Khamis jam 10 malam hanya di saluran Astro RIA.

Komen
Loading...