Munsyid Malaysia Sokong Penuh Karnival Malaysiaku Bersama Gaza, Umum Pertandingan Nasyid
- oleh MDaily Editor
- 14 Aug 2025 9:39 pm

Munsyid Malaysia mengumumkan sokongan penuh terhadap Karnival Malaysiaku Bersama Gaza dan Sumud Nusantara yang akan berlangsung pada 22 hingga 24 Ogos ini di Dataran Merdeka, selain menganjurkan Pertandingan Nasyid Malaysia Bersama Gaza pada 23 Ogos sebagai acara kemuncak.
Setiausaha Agung Munsyid Malaysia, Muhammad Mahdi Mohd Tholaat, berkata mesyuarat Exco yang diadakan sempena Retreat Munsyid Malaysia 2025 bukan sahaja membincangkan pelan tindakan organisasi, tetapi turut memutuskan penglibatan aktif dalam kempen solidariti berkenaan.
“Mesyuarat Exco yang kami adakan semalam memberi fokus bukan sahaja kepada pelan tindakan organisasi, tetapi juga peranan kami sebagai penggiat seni dakwah dalam isu-isu kemanusiaan global,”
“Kami bersetuju secara rasmi untuk menyokong penuh kempen ini dan mengambil peranan aktif dalam menjayakannya.” katanya.
Pertandingan nasyid tersebut terbuka kepada pelajar sekolah menengah dan universiti, dengan lagu bertemakan kemanusiaan dan perjuangan Palestin. Hadiah keseluruhan lebih RM10,000 disediakan termasuk:
– Juara: RM5,000
– Naib Juara: RM3,000
– Ketiga: RM1,500
– Saguhati: RM500
Untuk penyertaan pertandingan, orang ramai boleh menghubungi Khairul di 012-2744122 atau Ashraf di 017-5941334.
Timbalan Presiden Munsyid Malaysia, Wan Syahrul Amry Wan Mansor, menyeru seluruh ahli dan penggiat nasyid untuk hadir ke Dataran Merdeka bagi menyatakan solidariti.
“Kita mahu jadikan himpunan penasyid terbesar ini sebagai simbol kesatuan dan suara ummah. Kehadiran anda akan menjadi tanda sokongan moral kepada perjuangan rakyat Palestin,” katanya.
Selain pertandingan, Munsyid Malaysia juga akan menyediakan pentas terbuka untuk kumpulan nasyid membuat persembahan bebas, manakala karnival selama tiga hari itu bakal menampilkan pelbagai program seperti persembahan seni, pameran kesedaran, jualan amal, konvoi motosikal dan forum kemanusiaan.
Retreat Munsyid Malaysia 2025 yang berlangsung di Ibis Styles Hotel, Bandar Sri Damansara, turut membentangkan pelan jangka pendek dan panjang bagi penggal 2025–2027, dengan penyertaan 17 ahli termasuk Majlis Tertinggi, Exco, Penolong Ketua Biro dan dua auditor dalaman.