Ikuti Kami:

Munajjim: Sekutu Iblis Dirakam di Rumah Terbiar 10 Tahun, Farid Kamil Menginap Seorang Diri Demi Hayati Watak

Munajjim: Sekutu Iblis Dirakam di Rumah Terbiar 10 Tahun, Farid Kamil Menginap Seorang Diri Demi Hayati Watak

Filem seram tempatan Munajjim: Sekutu Iblis bukan sahaja menampilkan elemen mistik dan kisah benar mengenai amalan ilmu hitam, tetapi juga menyimpan kisah menarik di sebalik tabir pembikinannya, termasuk pengalaman menyeramkan yang dilalui oleh pelakon dan kru.

Penggambaran filem arahan Faizul A. Rashid itu dilakukan di sebuah rumah tinggal di Kuang, Sungai Buloh, yang telah lama tidak berpenghuni dan tidak digunakan selama lebih 10 tahun.

Rumah berkenaan hanya dibuka semula untuk penggambaran selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

Pengarahnya sendiri mengakui suasana lokasi memberikan kesan yang kuat terhadap produksi filem.

“Rumah itu memang dah lama ditinggalkan. Kali terakhir digunakan untuk penggambaran lebih 10 tahun lalu. Selepas itu ia terus ditutup. Ini kali pertama rumah itu dibuka semula untuk penggambaran. Masa mula-mula kami masuk pun, kami tahu ini rumahnya. Suasana memang terasa,” katanya semasa sidang media dan malam gala di pawagam TGV KlCC pada Selasa.

Faizul turut menambah bahawa sepanjang penggambaran, walaupun keseluruhan jadual berjalan lancar, tetap ada gangguan kecil yang dialami oleh kru dan pelakon. Namun, ia dianggap sebahagian daripada cabaran dalam menghasilkan naskhah berunsur seram dan spiritual.

“Tipu kalau saya kata tak ada pengalaman menyeramkan langsung. Tapi Alhamdulillah, semua berjalan dengan baik dari mula sampai habis,” katanya.

Pelakon utama filem, Farid Kamil yang memegang watak Ayden pula mendedahkan pengalaman peribadi yang membantu beliau mendalami peranannya. Demi menghayati karakter, beliau memilih untuk menginap seorang diri di rumah berkenaan.

“Pada mulanya saya belum dapat nak menggayakan watak ini dengan mendalam. Tapi selepas saya menginap seorang diri di rumah itu, barulah saya benar-benar dapat menjiwai watak Ayden. Saya tidur dalam satu bilik besar yang ada lima katil. Memang awalnya susah nak tidur, sampai saya bertukar-tukar katil beberapa kali. Sampai ke subuh baru dapat tidur,” katanya.

Farid menyifatkan suasana dan tenaga rumah tersebut secara tidak langsung membantu dirinya lebih fokus dalam memainkan watak yang emosinya berat dan penuh konflik dalaman.

Munajjim: Sekutu Iblis mengisahkan tentang seorang lelaki yang menggunakan sihir untuk membalas dendam terhadap bekas kekasih isterinya, yang mengganggu rumah tangga mereka. Namun, sihir itu berpaling arah dan mula menghantui keluarga sendiri, membawa kepada kehancuran akibat kepercayaan terhadap bomoh dan ilmu hitam.

Filem ini dibintangi barisan pelakon hebat seperti Farid Kamil, Uqasha Senrose, Che Puan Juliana Evans, Mustaqim Bahadon, Sherrie Merlis serta pelakon cilik Daniel Aqil. Ia turut diinspirasikan daripada kisah benar dan mengetengahkan mesej jelas tentang bahaya khurafat dan syirik dalam masyarakat moden.

Hasil terbitan Yusrych Global Sdn Bhd, dengan idea asal oleh Yusry Makmor, Zafran Aziz dan Rozita Mat Isa, filem ini bakal ditayangkan di seluruh pawagam bermula 31 Julai 2025 menerusi kerjasama dengan TGV dan edaran antarabangsa oleh D’Ayu Pictures serta sokongan promosi oleh Empire Solutions.

Dapatkan tiket anda di www.tgv.com.my

Komen
Loading...