Ikuti Kami:

Munajjim: Sekutu Iblis Berasas Kisah Benar Bongkar Bahaya Amalan Khurafat

Munajjim: Sekutu Iblis Berasas Kisah Benar Bongkar Bahaya Amalan Khurafat

Filem Munajjim: Sekutu Iblis tampil membawa mesej besar yang mengingatkan tentang bahaya amalan khurafat dan kebergantungan terhadap ilmu hitam yang menyesatkan.

Diangkat daripada kisah benar yang masih berlaku dalam masyarakat moden, filem ini bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 31 Julai ini.

Arahan Faizul A. Rashid dan terbitan Yusrych Global Sdn Bhd, filem ini bukan sekadar menakut-nakutkan penonton tetapi turut membongkar sisi gelap mereka yang percaya kepada bomoh dan pendamping ghaib untuk menyelesaikan masalah.

Menurut penerbit, Yusry Makmor, karya ini diinspirasikan daripada pengalaman sebenar yang menyentuh soal akidah, sihir dan akibat buruk bersekutu dengan makhluk halus.

“Munajjim: Sekutu Iblis bukan sekadar hiburan malah satu amaran. Amalan syirik ini masih wujud dalam pelbagai bentuk dalam masyarakat hari ini,”

“Ramai yang mencari jalan pintas menyelesaikan masalah melalui sihir dan bomoh dan itu membawa padah”, ujar Yusry yang turut menghasilkan idea asal bersama Zafran Aziz dan Rozita Mat Isa.

Mengisahkan dua beranak yang terlalu taksub dengan bomoh, mereka akhirnya menerima padah apabila si anak menggunakan sihir untuk membalas dendam terhadap bekas kekasih isterinya.

Ilmu hitam yang digunakan itu berpatah balik dan mula mengancam keselamatan keluarga mereka sendiri.

Pengarahnya Faizul A. Rashid menjanjikan pengalaman sinematik berbeza yang jauh dari klise filem seram tempatan.

“Seram dalam filem ini lebih mendalam. Ia realiti yang berlaku bukan mitos. Visual sinematik dan jalan cerita yang kuat disulam dengan mesej moral. Kita bukan mahu menakutkan sahaja tapi mahu penonton pulang dengan kesedaran”, katanya.

Filem ini menampilkan barisan pelakon hebat tanah air seperti Farid Kamil, Uqasha Senrose, Che Puan Juliana Evans, Mustaqim Bahadon, Sherrie Merlis dan adik Daniel Aqil. Penggambaran dijalankan sekitar Januari lalu di beberapa lokasi di Selangor.

Munajjim: Sekutu Iblis turut mendapat sokongan TGV, edaran antarabangsa oleh D’Ayu Pictures serta promosi strategik daripada Empire Solutions.

Gabungan elemen seram, nilai sinematik dan mesej akidah dalam Munajjim: Sekutu Iblis dijangka mencetuskan perbualan hangat dalam kalangan penonton apabila mula ditayangkan hujung bulan ini.

Komen
Loading...