Ikuti Kami:

MUAH! Tampil Dengan Single Kedua Bertajuk ‘KAJANG’ – Lagu Cinta Tiga Segi Penuh Drama & Irama Catchy

MUAH! Tampil Dengan Single Kedua Bertajuk ‘KAJANG’ – Lagu Cinta Tiga Segi Penuh Drama & Irama Catchy

Selepas mencuri perhatian dengan single sulung mereka Boy Best Friend (BBF), kumpulan pop alternatif tempatan, MUAH!, kembali menghangatkan industri muzik tanah air dengan lagu terbaharu berjudul KAJANG yang mula dilancarkan hari ini di semua platform digital.

Single kedua kumpulan tersebut diterbitkan menerusi kerjasama dengan Sony Music Malaysia dan menampilkan susunan muzik yang lebih matang, namun kekal segar dan menghiburkan, sesuai dengan karakter unik lima anggota MUAH! yang terdiri daripada Naim Daniel (vokalis dan gitar utama), Zenith (gitar), Tasneem (bass), Mairil (dram) dan Ayai (keyboard).

KAJANG mengangkat tema cinta tiga segi, satu naratif klasik yang diberi nafas baharu menerusi pendekatan bersahaja dan penuh ironi.

Lirik seperti “Alaaa bodo, aku kantoi lagi sekali…” serta “Macam mana aku nak twist story ini” bukan sahaja mencuit hati, malah menangkap realiti konflik emosi yang sering dilalui generasi muda masa kini.

Lagu ini merupakan hasil ciptaan bersama kelima-lima anggota kumpulan iaitu Naim Daniel, Mairil Hafiz, Zenith Akirae, Tasneem Bolhassan, dan Ayai Zafri, manakala lirik pula ditulis oleh Naim Daniel dan Mairil Hafiz. Proses penerbitan diketuai oleh Max Musa.

Dengan melodi yang catchy dan gaya penyampaian santai, KAJANG dijangka mendapat tempat di hati pendengar yang mencari lagu-lagu segar dan dekat dengan realiti kehidupan seharian.

Orang ramai boleh mula menstrim dan berkongsi lagu KAJANG di platform digital kegemaran masing-masing bermula hari ini.

Komen
Loading...