MTR: Ella Bakal Gegar Stadium Batu Kawan, Tiket Serendah RM39
- oleh MDaily Editor
- 5 May 2026 7:36 pm
Ratu Rock negara, Ella, bakal mencatat sejarah tersendiri apabila memilih negeri kelahirannya, Pulau Pinang, sebagai destinasi konsert berskala besar, Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Homecoming Edisi 60 Permata Biru pada 25 Julai depan.
Konsert yang dijadualkan berlangsung di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan itu bukan sekadar persembahan muzik, malah merupakan simbolik kepulangan ikon negara tersebut bersempena sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-60.
Ketua Pengarah Eksekutif dan Pengasas Hitman Group, Encik Rohit Rampal berkata, pemilihan lokasi tersebut amat signifikan kerana Ella bakal menjadi artis pertama yang menganjurkan konsert solo di stadium berkenaan.
“Kami melihat Majlis Tertinggi Rockqueen sebagai satu gerakan yang melangkaui konsert semata-mata. Ia adalah sebuah pengalaman yang menyatukan peminat melalui muzik, emosi dan mesej yang dibawa,” katanya pada sidang media khas di Odeon Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Susulan kejayaan edisi terdahulu di Stadium Nasional Bukit Jalil yang menghimpunkan lebih 55,000 penonton, penganjur kali ini komited memastikan akses yang lebih luas buat peminat di wilayah Utara dengan menawarkan harga tiket bermula serendah RM39.
Selain elemen hiburan, konsert ini turut membawa misi kemanusiaan menerusi kempen ‘Peace. Love. Rindu.’, di mana sebanyak RM2 daripada setiap tiket yang terjual akan disalurkan kepada badan kebajikan terpilih.
Antara badan yang bakal menerima sumbangan melalui undian peminat termasuklah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Pulau Pinang (Peace), Yayasan Kebajikan Negara (Love) dan Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (Rindu).

Sementara itu, Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin, menyifatkan konsert kali ini sebagai satu momen yang sangat dekat di hati setelah hampir empat dekad mengabdikan diri dalam industri muzik tanah air.
“Kepulangan ke Pulau Pinang adalah momen yang sangat bermakna. Ia bukan sahaja membawa saya kembali ke tempat asal, tetapi juga mendekatkan diri dengan peminat setia yang menyokong karier saya sejak awal,” ujarnya.
Jualan tiket secara rasmi akan dibuka pada 11 Mei ini menerusi laman web www.hitmanlive.com, manakala pemegang tiket Aras 3 bagi konsert terdahulu di Kuala Lumpur akan diberikan akses awal untuk pembelian pada 8 Mei berserta diskaun istimewa.
