
Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) akan mempersembahkan satu konsert istimewa bagi menghormati dua ikon muzik Hollywood abad ke-20, Frank Sinatra dan Judy Garland, pada Sabtu, 12 Julai 2025 jam 8 malam di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP), KLCC.
Konsert bertemakan The Music of Frank Sinatra & Judy Garland ini merupakan sebahagian daripada musim persembahan MPO 2025 bertemakan Where Every Beat Tells A Story, yang menampilkan kepelbagaian gaya muzik MPO dalam menghargai warisan muzik klasik pop dan simfoni.
Para penonton bakal dibawa mengimbau era keemasan Hollywood melalui lagu-lagu ikonik seperti Luck Be a Lady, Three Coins in the Fountain, dan How About You? oleh Sinatra, serta Somewhere Over the Rainbow, The Man That Got Away, dan The Boy Next Door oleh Garland.
Frank Sinatra (1915–1998) dikenali sebagai ikon budaya Amerika dengan suara bariton yang memukau serta karisma pentas yang tersendiri.
Beliau juga pernah memenangi Anugerah Oscar menerusi filem From Here to Eternity (1953). Judy Garland (1922–1969), pula terkenal dengan suara kontralto dan emosi yang mendalam dalam persembahan vokalnya, melonjak ke persada dunia menerusi filem The Wizard of Oz (1939).
Konsert ini akan dikendalikan oleh Richard Balcombe, seorang konduktor versatil dari UK yang berpengalaman luas dalam persembahan orkestra dan opera, termasuk produksi West End.
Turut mengiringi MPO ialah dua vokalis berbakat dari UK, Graham Bickley dan Katie Birtill, yang pernah memukau penonton DFP dalam konsert The Music of The Bee Gees pada tahun lalu.
Harga tiket bermula dari RM229 (C Reserve), RM279 (B Reserve), RM329 (A Reserve) hingga RM379 (Premium), manakala tempat duduk Suite ditawarkan pada harga RM499 atau RM439 termasuk sajian ringan. Tiket boleh didapati melalui laman web rasmi MPO di www.mpo.com.my.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan kehebatan MPO dalam menghidupkan semula magis era keemasan muzik Hollywood dalam sebuah malam penuh gemerlapan di DFP.