MPO Persembahkan ‘Classical Masterpieces’ Di DFP Bersama Hera Hyesang Park
- oleh MDaily Editor
- 11 Oct 2025 1:49 pm

Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) sekali lagi mengangkat keindahan muzik klasik ke pentas utama menerusi konsert bertemakan Classical Masterpieces yang bakal berlangsung pada Sabtu, 8 November 2025, jam 8.00 malam di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP), KLCC.
Konsert istimewa ini akan dipimpin oleh Pengarah Muzik MPO, Junichi Hirokami, dan menampilkan Hera Hyesang Park, soprano terkenal dari Korea Selatan yang bakal menjadi tumpuan utama malam tersebut.
Park, yang pernah dipuji oleh The Times kerana “radiant, seemingly effortless singing”, merupakan graduan berprestij Juilliard School dan antara bintang muda yang sedang mencipta nama di pentas antarabangsa.
Suara lyric coloratura miliknya yang lembut namun bertenaga dijangka memberikan sentuhan emosi mendalam kepada persembahan ini.
Pengarah Muzik MPO, Junichi Hirokami
Penonton bakal dibawa menyelusuri perjalanan muzik klasik yang menggabungkan karya dua komposer tersohor, Gioachino Rossini dan Gustav Mahler.
Pada separuh pertama persembahan, MPO akan mempersembahkan petikan daripada opera terkenal Rossini seperti The Barber of Seville, The Turk in Italy, The Siege of Corinth dan William Tell, karya yang menampilkan kehebatan melodi dramatik serta sentuhan humor yang menjadi identiti komposer Itali itu.
Selepas rehat, penonton akan dihidangkan dengan karya agung Mahler’s Symphony No. 4 in G, sebuah simfoni yang penuh kelembutan dan ketenangan, menggambarkan pandangan seorang anak terhadap syurga yang penuh damai dan keindahan.
Karya yang pertama kali dipersembahkan pada tahun 1901 ini dikenali sebagai antara simfoni paling mempesona hasil ciptaan Mahler.
Kehadiran Hera bukan sahaja mengangkat mutu konsert, malah memperkukuh imej DFP sebagai pentas utama bagi kolaborasi bertaraf dunia.
Tiket konsert Classical Masterpieces kini boleh didapati dengan harga antara RM229 hingga RM499, termasuk pakej suite eksklusif yang disertakan dengan jamuan ringan.
Untuk maklumat lanjut dan pembelian tiket, layari www.mpo.com.my