MPO & Orkestra Simfoni Tokyo Gabung Tenaga Dalam “A Cosmic Symphony”
- oleh Mohd Indera
- 19 Aug 2025 4:39 pm

Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) akan bergabung tenaga dengan Orkestra Simfoni Tokyo dalam konsert bertemakan “A Cosmic Symphony” yang dijadual berlangsung pada Sabtu, 13 September 2025, jam 8.00 malam di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP), KLCC.
Kerjasama ini turut mempertemukan MPO dengan Orkestra Simfoni Tokyo, sebuah orkestra yang diasaskan pada 1946 dan terkenal di peringkat antarabangsa dalam pementasan opera serta balet.
Orkestra tersebut telah mengadakan persembahan di 58 bandar di seluruh dunia, menjadikan kolaborasi ini antara acara muzik paling berprestij di Malaysia tahun ini.
Konsert yang dipimpin oleh Pengarah Muzik MPO, Junichi Hirokami itu akan menampilkan karya agung Gustav Holst berjudul “The Planets”.
Dicipta antara tahun 1914 hingga 1917, karya simfoni tersebut dianggap sebagai hasil ciptaan paling terkenal Holst yang menyingkap imaginasi astrologi setiap planet dengan kekuatan orkestra penuh dramatik.
Selain itu, konsert ini akan menampilkan gabungan suara daripada UCSI Chorale dan Dames of Harmonia, memberikan dimensi baharu kepada persembahan “The Planets”.
Acara akan dibuka dengan “Toccata Festiva” ciptaan Samuel Barber yang dikhaskan untuk majlis perasmian Philadelphia Orchestra pada 1960.
Persembahan ini akan dimainkan oleh pemain organ Jepun, Mari Ohki, di atas Klais Pipe Organ yang menjadi kebanggaan DFP. Ohki sebelum ini mencipta sejarah apabila menjadi artis Jepun pertama menjuarai Pertandingan Organ Antarabangsa Dietrich Buxtehude di Jerman.
Seterusnya, penonton bakal dihiburkan dengan “Concerto for Two Violins in D minor” ciptaan Johann Sebastian Bach, yang menampilkan dua pemuzik MPO, Peter Danis dan Issey Kobayashi, sebagai pemain solo.
Menurut kenyataan MPO, pihaknya komited untuk terus menawarkan persembahan bertaraf dunia serta menyediakan program muzik yang pelbagai dan dekat dengan masyarakat.
Orang ramai juga digalakkan memberi sokongan melalui sumbangan yang akan digunakan bagi membangunkan bakat tempatan serta memperluas apresiasi muzik klasik di negara ini.
Tiket berharga antara RM229 hingga RM499 boleh didapati menerusi laman rasmi MPO di www.mpo.com.my