Ikuti Kami:

MPO Bergabung Dengan KS Chithra ‘The Golden Voice of India’ November Ini

MPO Bergabung Dengan KS Chithra ‘The Golden Voice of India’ November Ini

Legenda muzik India, KS Chithra, atau dikenali sebagai The Golden Voice of India, bakal mempersembahkan satu konsert istimewa bersama Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP), KLCC, pada 29 November 2025 jam 8 malam.

Konsert yang dipimpin oleh Konduktor Residen MPO, Gerard Salonga, ini menandakan satu detik bersejarah apabila gabungan suara Chithra yang berjiwa dan orkestrasi simfoni MPO dijangka menghasilkan persembahan yang memukau penonton.

Chithra, yang telah merakam lebih 25,000 lagu dalam pelbagai bahasa sepanjang kerjayanya selama lima dekad, terkenal melalui kolaborasi dengan komposer tersohor A.R. Rahman dan Ilaiyaraaja.

Beliau juga menjadi wanita India pertama yang dihormati oleh Parlimen Britain, dan pada tahun 2021 dianugerahkan Padma Bhushan, penghormatan ketiga tertinggi India, atas sumbangan besar dalam industri muzik.

Antara lagu yang bakal dipersembahkan ialah Kannalanae, Anjali Anjali, Malargale Malargale, Rasaali, Thanni Thotti, Kuluvalilae dan Paadarieyn, yang semuanya akan diberikan gubahan simfoni baharu oleh Gerard Salonga, Ahmad Muriz Che Rose, Ilham Subri, Wong Jun Xian, Teuku Umar dan Shahhakam Mokhtar.

Menemani Chithra di pentas DFP ialah Madhu Balakrishnan, Sathyaprakash dan Anamika PS, menambah keindahan harmoni vokal bagi menjadikan malam ini lebih istimewa.

Menurut MPO, konsert ini memperluaskan lagi genre muzik orkestra tempatan selepas kejayaan persembahan pelbagai genre sebelum ini termasuk muzik pop, jazz, tradisional, runut bunyi filem dan anime.

Konsert ini dianjurkan bersama Mojo Projects, dan dijangka menjadi malam bersejarah yang menggabungkan melodi India dengan kehebatan simfoni di Malaysia.

Tiket untuk persembahan ini boleh didapati di laman rasmi MPO, www.mpo.com.my, dengan harga bermula dari RM288 hingga RM788, manakala tempat duduk suite berharga antara RM1,299 hingga RM1,599 termasuk hidangan ringan.

Komen
Loading...