Ikuti Kami:

MPO Bawa ‘Sihir’ Harry Potter and the Prisoner of Azkaban ke Pentas DFP April Ini

MPO Bawa ‘Sihir’ Harry Potter and the Prisoner of Azkaban ke Pentas DFP April Ini

Peminat siri filem popular Harry Potter bakal berpeluang merasai semula keajaiban dunia sihir apabila Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) mempersembahkan Harry Potter and the Prisoner of Azkaban™ in Concert pada April depan.

Persembahan yang dijadualkan berlangsung selama empat hari bermula 2 hingga 5 April 2026 itu merupakan siri ketiga dalam jelajah konsert filem rasmi Harry Potter yang dibawakan khas ke Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP), KLCC.

Menerusi pementasan ini, penonton akan menyaksikan filem ketiga Harry Potter ditayangkan sepenuhnya dalam definisi tinggi (HD) menerusi skrin gergasi selebar 40 kaki.

Apa yang menarik, setiap babak filem tersebut akan diiringi dengan skor muzik secara langsung oleh MPO, membawakan gubahan ikonik pemenang Anugerah Oscar, John Williams.

Konduktor ternama, Gerard Salonga, akan memimpin pemuzik MPO dalam menghidupkan setiap nota muzik yang penuh debaran, sekali gus memberikan dimensi baharu kepada kembara Harry, Ron, dan Hermione di Hogwarts.

Menurut Presiden CineConcerts, Justin Freer, siri konsert ini merupakan fenomena budaya sekali seumur hidup yang terus memukau jutaan peminat di seluruh dunia.

“Kami amat berbesar hati dapat memberikan peluang kepada peminat untuk merasai sendiri skor muzik yang memenangi anugerah ini dimainkan secara langsung oleh orkestra simfoni, sambil filem kegemaran mereka ditayangkan serentak,” katanya dalam satu kenyataan.

Sejak tayangan perdana Harry Potter and the Philosopher’s Stone in Concert pada 2016, lebih tiga juta peminat telah menikmati pengalaman magis ini menerusi hampir 3,000 persembahan di lebih 48 buah negara.

Dalam naskhah Prisoner of Azkaban, penonton akan mengikuti tahun ketiga Harry di Hogwarts di mana dia perlu berhadapan dengan banduan yang melarikan diri, Sirius Black, selain bergelut dengan ancaman Dementor yang menghisap jiwa.

Muzik gubahan Williams dalam naskhah ini dianggap antara yang terbaik, menampilkan motif muzik yang lebih matang dan mencerminkan fasa remaja watak-watak utamanya.

Bagi mereka yang tidak mahu melepaskan peluang keemasan ini, tiket ditawarkan pada harga bermula RM399 sehingga RM649.

Orang ramai boleh membuat pembelian atau mendapatkan maklumat lanjut menerusi laman web rasmi MPO di mpo.com.my.

Loading...