Ikuti Kami:

MPO Abadikan Legasi Biduanita Negara, Sharifah Aini di Pentas DFP

MPO Abadikan Legasi Biduanita Negara, Sharifah Aini di Pentas DFP

Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) bakal mementaskan sebuah konsert penuh nostalgia, A Tribute to Sharifah Aini, bagi meraikan legasi seni tiada galang ganti Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini.

Konsert yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu, 6 Jun 2026 jam 8.00 malam itu bakal mengambil tempat di ruang ikonik, Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP).

Meskipun sudah 12 tahun Allahyarhamah meninggalkan kita, pengaruh dan kualiti vokal “Anak Emas EMI” ini terus segar dalam ingatan peminat seni tanah air.

Sepanjang kerjayanya, beliau telah merakamkan kira-kira 700 buah lagu dan melahirkan lebih daripada 100 buah album, satu pencapaian luar biasa yang sukar ditandingi.

Di bawah pimpinan konduktor berwibawa, Ahmad Muriz Che Rose, konsert ini akan menampilkan barisan penyanyi hebat merentas zaman antaranya
Dato’ Khadijah Ibrahim, Salamiah Hassan, Asmidar & Shiha Zikir.

Keistimewaan konsert ini terletak pada susunan muziknya yang telah diberi gubahan khas orkestra oleh barisan penggubah tersohor seperti Azhad Sulaiman, Shahhakam Mokhtar, Jenny Chin, Ilham Subri, Luqman Aziz, dan Ahmad Muriz sendiri.

Antara lagu yang bakal didendangkan ialah Hapuslah Airmatamu, Kudaku Lari, Kenang Daku Dalam Doamu, Seri Dewi Malam, Mawar Putih Untuk Mama, Bunga Tanjung serta rangkaian medley tradisional.

Langkah ini dilihat sebagai usaha murni MPO dalam mengangkat warisan muzik tempatan ke tahap yang lebih tinggi, membolehkan karya klasik Sharifah Aini dinikmati dalam interpretasi simfoni yang lebih megah dan segar.

Harga tiket bermula RM249 sehingga RM499 (Suite) dan boleh didapati melalui www.mpo.com.my atau hubungi Box Office di talian 03-23317007.