Ikuti Kami:

MOVA Sasar Tiga Juta Pengguna Aktif Malaysia, Umum Kerjasama Strategik Dengan Lazada

MOVA Sasar Tiga Juta Pengguna Aktif Malaysia, Umum Kerjasama Strategik Dengan Lazada

Platform e-dagang inovatif, MOVA, mengumumkan sasaran untuk mencapai tiga juta pengguna aktif tempatan menjelang akhir 2025, selepas mencatatkan kejayaan awal di Indonesia.

Syarikat induknya, Mova Digital Tech Sdn Bhd, ditubuhkan pada 2024 di Shenzhen, China dengan misi memperkenalkan teknologi e-dagang yang lebih cekap serta menawarkan penjimatan melalui sistem cashback dan komisen tambahan kepada pengguna.

Menurut Chief Operating Officer (COO) Asia Tenggara Mova, Firman Chen, pihaknya kini sedang memperkemas sistem integrasi data dengan Lazada sebagai langkah permulaan sebelum pelancaran rasmi pada September ini.

“Kerjasama bersama Lazada ini sama seperti yang kita jalankan bersama Shopee dan TikTok. Melalui kolaborasi ini, kita akan menerima komisen tambahan daripada penjual (seller), dan kelebihan itu akan dikembalikan kepada pengguna dalam bentuk cashback,” katanya di majlis sidang media dan penerangan bersama rakan niaga serta ‘affiliate’ Malaysia berlangsung di Menara Ecoworld, Kuala Lumpur, hari ini.

Bagaimanapun, Firman menjelaskan jumlah pulangan bergantung kepada kadar ‘marketing fee’ setiap jenama.

“Jika sesebuah jenama mempunyai bajet pemasaran yang tinggi, maka kadar komisen yang diberikan juga lebih besar. Namun, untuk peniaga kecil yang tidak mempunyai bajet pemasaran, mereka biasanya tidak dapat menawarkan cashback,” jelasnya.

Setakat ini, MOVA dilaporkan sudah memiliki 400,000 pengguna di Malaysia, dengan purata 150,000 pengguna aktif harian atau sekitar 30 peratus.

Transaksi melalui Shopee dan TikTok yang disalurkan melalui MOVA pula dianggarkan antara 40,000 hingga 50,000 transaksi sebulan.

Firman turut menegaskan bahawa MOVA menolak sebarang dakwaan terlibat dengan aktiviti ‘money game’ atau transaksi tidak patuh syariah.

“Semua aliran wang di platform ini adalah jelas. MOVA hanya menambah nilai kepada pengguna melalui cashback tanpa unsur riba. Malah, kami juga sedang berbincang dengan pihak berautoriti untuk memastikan kepatuhan syariah,” katanya.

Beliau menambah, kekuatan MOVA adalah keupayaannya membina trafik pengguna yang tinggi, sekaligus memberi kuasa rundingan lebih besar dengan jenama antarabangsa.

“Jika kita mencapai tiga juta pengguna di Malaysia, jenama akan lebih yakin memberikan komisen lebih besar. Secara langsung, cashback yang diterima pengguna juga akan meningkat,” ujarnya.

MOVA optimis dapat memperluas capaian bukan sahaja di platform dalam talian, malah ke pasaran luar talian, termasuk sektor makanan, peruncitan dan gaya hidup, bagi menarik lebih ramai pengguna tempatan.

Komen
Loading...