Ikuti Kami:

MOSTI bawa aktiviti interaktif berkaitan STEM, AI di Program Madani Rakyat

MOSTI bawa aktiviti interaktif berkaitan STEM, AI di Program Madani Rakyat

GEORGE TOWN — Tidak perlu memandu beratus kilometer hanya untuk ke Gua Kelam iaitu lokasi wajib dikunjungi sekiranya bercuti ke Perlis, sebaliknya pengunjung berpeluang ‘mengembara’ ke destinasi pelancongan popular itu dengan hanya menghadiri Program MADANI Rakyat 2024 Zon Utara di Tapak Pesta Sungai Nibong, dekat sini.

Menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), ini antara keunikan yang disajikan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) kepada para pengunjung di pavilion “Eksplorasi Dunia STEM dan AI” bersempena Program MADANI Rakyat 2024 Zon Utara yang berlangsung tiga hari bermula hari ini.

Ketua Penolong Setiausaha Kanan MOSTI (Bahagian Perancangan Strategik) Datin Seri Norfaliza Ismail berkata pavilion itu antara lain menyediakan aktiviti interaktif berkaitan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta AI seperti pengembaraan ke Gua Kelam dan eksplorasi ke ruang angkasa menerusi Sistem Operasi Realiti Maya (VR).

Beliau berkata pavilion yang menyediakan sembilan reruai dengan pelbagai aktiviti interaktif berkenaan dibawakan buat pertama kali pada penganjuran siri kedua Program MADANI Rakyat 2024 itu.

“Sebelum ini, di (Program MADANI Rakyat 2024) Zon Tengah tiada elemen STEM tetapi kali ini, bidang STEM dan AI dititkberatkan, maka MOSTI dipertanggungjawab untuk mempromosi STEM dan AI (kepada pengunjung).

“Selain itu, ada juga aktiviti secara amali lain yang dibawa Pusat Sains Negara cawangan utara seperti robot yang boleh berinteraksi dengan para pelajar, aktiviti kuiz berkaitan matematik dan sains dalam bentuk bengkel dan sebagainya,” katanya yang juga Ketua Program Tumpuan STEM dan AI itu kepada Bernama.

Norfaliza berkata antara pempamer terlibat dalam “Eksplorasi Dunia STEM dan AI” ialah Planetarium Negara dan Pusat Sains Negara, kerajaan Pulau Pinang, Kedah dan Perlis serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan bidang itu seperti Penang Science Cluster.

Beliau berkata “Eksplorasi Dunia STEM dan AI” diadakan bagi menggalakkan minat serta meningkatkan pengetahuan orang ramai terutamanya dalam kalangan kanak-kanak terhadap bidang STEM dan AI.

“Ini kerana kedua-dua bidang ini khususnya AI sekarang ini sangat penting dalam kehidupan seharian kita,” katanya sambil menambah pihaknya turut menyasarkan 5,000 pelawat daripada pelbagai usia akan mengunjungi pavillion MOSTI sepanjang tiga hari program berlangsung.

Sementara itu, pengunjung remaja Noranisha Batrisyia Mohd Arjuna, 14, berkata pavillion MOSTI itu memberi keseronokan kerana pelbagai aktiviti interaktif disediakan di samping dapat belajar lebih mendalam berkaitan STEM dan AI.

“Terbaik, sebab sebelum ini memang ada buat program mengenai STEM dan AI dekat sekolah tetapi tidak seronok macam di sini (Eksplorasi Dunia STEM dan AI),” kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Penanti itu.

— BERNAMA

Komen
Loading...