Ikuti Kami:

MITAF25: Festival Memanah Tradisional Antarabangsa Terbesar di Malaysia

MITAF25: Festival Memanah Tradisional Antarabangsa Terbesar di Malaysia

Malaysia bakal menjadi tuan rumah kepada salah satu festival memanah tradisional terbesar di dunia, Malaysia International Traditional Archery Festival 2025 (MITAF25), yang akan berlangsung dari 9 hingga 12 Oktober 2025.

Festival ini dijangka menarik 2,000 peserta dari lebih 10 negara di dua lokasi utama, iaitu Royale Chulan Damansara dan Kwasa Damansara, Selangor.

Menurut kenyataan penganjur, MITAF25 bukan sekadar satu pertandingan tetapi juga sebuah perayaan budaya.

“MITAF25 adalah sebuah perayaan budaya dan sukan yang menonjolkan kepentingan sejarah serta keindahan seni memanah tradisional, sambil memupuk semangat perpaduan antarabangsa,” katanya.

Acara ini akan menampilkan pelbagai aktiviti menarik, termasuk:

– Malaysia International Traditional Archery Summit: Sidang ilmiah yang menghimpunkan profesional, akademik, dan pengamal sukan memanah tradisional bagi membincangkan evolusi seni, budaya, dan warisan memanah tradisional.

– MITAF International Youth Championship (Cilik): Pertandingan untuk pemanah muda bagi mencungkil bakat generasi baharu dalam sukan ini.

– Malaysia Open Championship: Pertandingan terbuka untuk semua pemanah bagi meraikan kepelbagaian seni memanah tradisional.

– ASEAN Collaboration of Traditional Archery (ACTA) Tournament: Kejohanan peringkat serantau yang bertujuan mengukuhkan hubungan antara negara-negara ASEAN menerusi minat terhadap memanah tradisional.

Penganjur turut menyatakan bahawa MITAF25 bukan sahaja bertujuan untuk memperkenalkan keindahan seni memanah tradisional Malaysia tetapi juga untuk meletakkan negara di peta dunia sebagai hab seni warisan tradisional.

“Kami berharap MITAF25 dapat menjadi platform perpaduan antarabangsa melalui sukan memanah tradisional yang kaya dengan nilai seni dan sejarah,” tambah kenyataan tersebut.

Orang ramai, peminat memanah, dan mereka yang berminat dengan budaya warisan dijemput untuk turut serta dalam festival ini.

Maklumat lanjut mengenai penyertaan, penajaan, dan jadual acara akan diumumkan dalam masa terdekat.

Komen
Loading...