Ikuti Kami:

Misteri Fraser 1910 Bawa Penonton Selami Rahsia Gelap Bukit Fraser

Misteri Fraser 1910 Bawa Penonton Selami Rahsia Gelap Bukit Fraser

Di sebalik keindahan Bukit Fraser yang terkenal sebagai tempat pelancongan, tersimpan kisah lama yang penuh misteri. Filem seram terbaru berjudul Misteri Fraser 1910 membawa penonton menyelami kisah kehilangan seorang peneroka yang dikenali sebagai Louis James Fraser.

Filem ini diterbitkan oleh Millionaire Film Production Sdn Bhd dan mengangkat kisah benar yang berlaku pada tahun 1910. Fraser, yang berasal dari Scotland, dilaporkan hilang secara tiba-tiba selepas menemui kawasan bijih timah di situ.

Hanya keretanya ditemui di tepi hutan dan jasadnya tidak pernah dijumpai hingga hari ini.

Penerbit filem ini, Elani Aidid, berkata idea untuk menghasilkan filem tersebut tercetus ketika beliau berada di Bukit Fraser pada tahun 2019 untuk mencari lokasi penggambaran filem lain.

“Ketika berada di sana, saya terbaca kisah Fraser dan mendapati ada beberapa laluan mendaki dinamakan sempena nama orang yang pernah terlibat dalam pencarian beliau, seperti Bishop Trail dan Abu Suradi Trail. Dari situ timbul idea untuk mengkaji lebih lanjut dan hasilkan cerita rekaan berdasarkan kisah sebenar itu,” katanya pada malam gala tayangan perdana Misteri Fraser 1910 di GSC Mid Valley.

Filem ini menampilkan pelakon Josiah Hogan sebagai Mr. Fraser, bersama barisan pelakon lain seperti Amai Kamarudin, Siti Hariesa, Isyariana dan Erry Putra.

Menurut Elani, filem ini dibina berdasarkan gabungan 50 peratus kisah benar dan 50 peratus fiksyen. Ia turut disokong oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) melalui Dana Perkembangan Skrip Filem dan dipantau oleh panel skrip berpengalaman.

“Kami bukan sekadar nak tonjolkan unsur seram, tetapi juga nak bawa penonton rasa suasana zaman dulu. Sebab itu kami guna bahasa baku lama, pakaian klasik dan latar yang sesuai dengan zaman 1910,” katanya.

Selain dari jalan cerita yang menarik, filem ini juga mencatat kejayaan awal apabila memenangi anugerah Best First Time Filmmaker di festival filem Lift-Off Global Network Sessions Vol. 4 di Pinewood Studio, United Kingdom.

Filem ini mendapat undian tertinggi daripada penonton antarabangsa sepanjang festival berlangsung dari 21 April hingga 4 Mei 2025.

“Setakat ini kami juga sudah hantar penyertaan ke 32 festival lain. Yang terbaru ialah sebuah festival filem di Rusia yang akan berlangsung pada bulan September nanti,” tambah Elani.

Filem Misteri Fraser 1910 akan mula ditayangkan di semua pawagam di seluruh negara bermula 26 Jun 2025. Filem ini sesuai untuk penonton yang gemarkan cerita seram dengan sentuhan sejarah dan suasana misteri.

Komen
Loading...