Ikuti Kami:

Misompuru: ‘Lintah Darat’ Duet Unik Marsha Milan & Velvet Aduk Yang Sarat Emosi

Misompuru: ‘Lintah Darat’ Duet Unik Marsha Milan & Velvet Aduk Yang Sarat Emosi

Dalam usaha membawa elemen muzik etnik ke arus perdana, penyanyi terkenal Marsha Milan kembali dengan album terbaharunya, Misompuru.

Salah satu lagu yang paling mencuri perhatian dalam album ini ialah Lintah Darat, duet unik bersama penyanyi dan komposer berbakat, Velvet Aduk.

Dicipta dan ditulis sepenuhnya oleh Velvet Aduk, Lintah Darat membawa pendengar kepada sebuah perjalanan emosi dengan nuansa moden folk yang santai. Lagu ini menggamit nostalgia dan mengangkat kisah realiti kehidupan yang mungkin pernah dialami oleh sesiapa sahaja.

Menurut Velvet, inspirasi lagu ini datang daripada permintaan Marsha sendiri yang mahukan sebuah lagu Sabah yang mudah dinikmati oleh semua.

“Saya ingin menghasilkan sesuatu yang dekat di hati pendengar, sesuatu yang bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga mempunyai nilai tersendiri,” katanya.

Marsha pula menzahirkan rasa teruja dengan lagu ini, menyatakan bahawa ia mempunyai keunikan tersendiri yang mencerminkan muzik Borneo dalam bentuk pyang lebih kontemporari.

“Lagu ini ada jiwa, ada cerita yang ramai boleh kaitkan dengan kehidupan mereka sendiri,” ujar Marsha.

Kolaborasi antara Marsha dan Velvet bukanlah sesuatu yang baharu. Sebelum ini, mereka pernah berganding bahu dalam lagu Sumandak Sabah pada tahun 2018 yang mendapat sambutan hangat.

Dengan Lintah Darat, kedua-duanya sekali lagi membuktikan keserasian vokal mereka dalam menyampaikan lagu dengan penuh perasaan.Velvet turut memuji cara Marsha menjiwai lagu ini.

“Bila lagu ini diberikan kepadanya, dia menyampaikannya dengan caranya sendiri, menjadikan lagu ini lebih unik dan berjiwa,” katanya.

Dengan lirik yang santai serta melodi yang mesra pendengar, Lintah Darat dijangka menjadi salah satu lagu kegemaran dalam album Misompuru, terutama bagi mereka yang menghargai muzik Sabah yang kaya dengan emosi dan nostalgia.

Selain Lintah Darat, album Misompuru turut memuatkan empat lagu lain yang menampilkan kepelbagaian muzik Sabah dan Sarawak, termasuk Nalan Nalan bersama Alena Murang, Pelangi Pasti oleh Amir Jahari, Santai Saja ciptaan Rich Estranged, dan Hey Aramai Ti bersama Datuk Francis Landong.

Dengan pelbagai genre dan elemen tradisional yang digabungkan dalam bentuk moden, Misompuru bukan sekadar album biasa, tetapi sebuah karya yang meraikan keindahan budaya Borneo.

Lintah Darat dan kesemua lagu dalam album Misompuru kini boleh didengari di semua platform penstriman digital.

Komen
Loading...