Ikuti Kami:

Misi Global Sumud Flotilla: Kesemua 23 Delegasi Malaysia Telah Ditahan

Misi Global Sumud Flotilla: Kesemua 23 Delegasi Malaysia Telah Ditahan

Kesemua 23 delegasi Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza disahkan ditahan pihak berkuasa Israel selepas kapal mereka dipintas di perairan antarabangsa, awal pagi tadi.

Difahamkan, flotila berkenaan membawa bantuan makanan, ubat-ubatan serta keperluan asas untuk rakyat Palestin, dan mula berlayar sejak awal bulan lalu sebagai simbol solidariti antarabangsa terhadap penduduk Gaza yang berdepan serangan berterusan rejim Zionis.

Daripada keseluruhan 497 peserta flotila, seramai 23 rakyat Malaysia turut menyertai misi tersebut dan ditempatkan di beberapa kapal berasingan, iaitu:

Kapal Sirius: Muhammad Haikal Abdullah, Muhammad Muaz Zainal Abiddin, Mohammad Zulfadhli Khiruddin, Mohd Rusydi Ramli
Kapal Alma: Ahmad Musa Alnuwayri Kamaruzaman, Ilylia Balqis Suhaimi, Sul Aidil Sudi
Kapal Huga: Nur Fazelah Mad Tahil (Zizi Kirana)
Kapal Grande Blu: Danish Nazran Murad, Nurfarahin Romli (Farah Lee)
Kapal Hio: Nur Heliza Helmi, Nur Hazwani Afiqah Helmi
Kapal Free Willy: Muhd Haikal Luqman Zulkefli, Muhammad Hareez Adzrami (Haroqs), Taufiq Mohd Razif
Kapal Estrella: Rahmat Ikhsan Mohd Sofyan (PU Rahmat), Norhelmi Ab Ghani, Norazman Ishak, Mohd Asmawi Mukhtar
Kapal Fair Lady: Muhammad Abdullah (Ustaz Muhammad Kechik), Zainal Rashid Ahmad (ZRA)
Kapal Mikeno: Ardell
Kapal Inana: Razali Awang

Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center, Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, pihak sekretariat akan mengadakan pertemuan tertutup bagi membincangkan langkah seterusnya.

“Sebentar nanti pihak sekretariat akan melakukan pertemuan secara tertutup dan doakan seluruh keluarga 23 orang delegasi ini kuat dan diberikan kesabaran,” katanya.

Sementara itu, Wisma Putra memaklumkan bahawa pihaknya sedang mendapatkan pengesahan rasmi daripada kerajaan Israel melalui saluran diplomatik, di samping bekerjasama dengan negara jiran bagi memastikan keselamatan semua delegasi Malaysia.

Dalam kenyataannya, Kementerian Luar menyatakan kesemua tahanan dijangka dihantar pulang melalui negara ketiga.

Selain itu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan mengarahkan perwakilan Malaysia di Amman dan Kaherah untuk bekerjasama rapat dengan kedutaan negara-negara ASEAN di Tel Aviv bagi mempercepat urusan konsular.

“Kementerian ini akan memastikan mereka menerima sokongan serta bantuan konsular yang diperlukan bagi menjamin kepulangan selamat ke Malaysia. Kerajaan Malaysia akan terus komited menjaga keselamatan rakyat Malaysia di luar negara,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Misi Global Sumud Flotilla (GSF) itu turut disertai sukarelawan dari lebih 43 negara lain, menjadikan jumlah keseluruhan individu yang ditahan mencecah ratusan orang.

Perkembangan lanjut mengenai status tahanan warga Malaysia akan diumumkan dari semasa ke semasa oleh pihak berkuasa berkaitan.

Komen
Loading...