Ikuti Kami:

Misha Omar, Melly Goeslaw ‘berjodoh’ Lagi Dalam IDLYA

Misha Omar, Melly Goeslaw ‘berjodoh’ Lagi Dalam IDLYA

Foto: KOSMO

Jika tahun lalu lagu Break menjadi saksi kepada penyatuan semula dua jiwa seni hebat, tahun ini penyanyi berkaliber, Misha Omar sekali lagi membuktikan “jodoh” seninya bersama komposer tersohor Indonesia, Melly Goeslaw masih utuh.

Menerusi single terbaharu berjudul I Don’t Like You Anymore atau akronimnya, IDLYA, Misha, 44, kembali mempercayai sentuhan Melly untuk menterjemahkan sisi matang perjalanannya yang kini mencecah usia 24 tahun dalam industri muzik.

Bagi Misha, bekerjasama dengan Melly bukan sekadar satu percaturan strategi, sebaliknya ia adalah sebuah sinergi yang penuh jiwa dan karakter.

“Melly mempunyai keupayaan luar biasa untuk menterjemahkan emosi saya ke dalam sebuah garapan lagu. Kerjasama ini bukan hanya memperlihatkan kematangan kami, malah saya percaya ia memperkasa lagi hubungan seni antara Malaysia dan Indonesia,” katanya di majlis perlancaran MuzikVideo I Don’t Likedi Courtyard by Marriot Kuala Lumpur South pada Selasa.

Menyifatkan IDLYA sebagai kesinambungan kepada persoalan yang ditinggalkan dalam lagu Break, Misha mengakui dia tidak pernah meletakkan formula tertentu dalam setiap karyanya.

Namun, kejayaan Break yang meraih pengiktirafan Platinum dan menembusi pasaran ‘Gen Z’ memberinya keyakinan untuk terus menggali potensi diri.

“Dalam berkarya, saya lebih selesa membiarkan perjalanan kerjaya mengalir secara alami. Sejujurnya, saya tidak menyangka Break diterima begitu meluas sehingga ke kelompok peminat muda.

“Aturan ini disusun indah oleh-Nya, dan menerusi IDLYA, saya mahu memberikan sesuatu yang lebih mendalam dari sudut vokal dan muzik,” ujar anak kelahiran Kelantan itu lagi.

Selain Melly, IDLYA turut mendapat sentuhan genius muzik, Tohpati selaku penerbit serta bimbingan vokal daripada Datuk Syafinaz Selamat.

Dikenali sebagai artis yang sangat mementingkan ketelitian, Misha menegaskan bahawa kualiti produksi adalah keutamaan yang tidak boleh dikompromi oleh syarikat rakamannya, Sony Music Malaysia.

“Kami sangat teliti dalam setiap aspek produksi. Saya tidak suka kerja ‘asal boleh’. Banyak tapisan dibuat kerana kami mengutamakan kualiti.

“Bekerjasama dengan Melly dan Tohpati memberikan saya ruang ekspresi yang lebih terbuka. Malah, Tohpati kini lebih berani mencungkil sisi kekuatan vokal saya yang mungkin belum pernah didengari sebelum ini,” katanya.

Mengulas mengenai pembikinan muzik video IDLYA, anak seni ini mengakui berdepan cabaran fizikal yang hebat apabila perlu menjalani penggambaran di kawasan pergunungan bersalji di China.

“Saya sebenarnya tidak mampu menahan cuaca yang terlalu sejuk, namun atas dasar profesionalisme, cabaran itu harus didepan demi memastikan visual yang dihasilkan selari dengan kualiti lagu ini,” kongsinya.

Komen
Loading...