Misha Omar Kembali ke Pentas: ‘Back to Basic Showcase’ 21 Disember Ini
- oleh Mohd Indera
- 4 bulan lalu

Penyanyi lagu Bunga-Bunga Cinta, Misha Omar, bakal mencipta kenangan baru untuk peminatnya menerusi persembahan solo yang dinantikan, MISHA OMAR BACK TO BASIC SHOWCASE, pada 21 Disember 2024.
Showcase ini menandakan kemunculan semula Misha di pentas selepas tiga tahun sejak persembahan terakhirnya di Istana Budaya pada 2021.
Dengan konsep intim dan santai, Misha memilih panggung berskala kecil sebagai tanda penghargaan kepada peminat yang setia menyokong kariernya sepanjang dua dekad.
Menurut Misha, acara ini menjadi langkah awal menuju konsert berskala besar yang menjadi impiannya.
“Saya mahu memulakan sesuatu dengan langkah kecil, dan showcase ini adalah tanda terima kasih kepada peminat. Ia juga membuka jalan untuk impian mengadakan konsert mega pada masa akan datang,” katanya.
Acara ini akan berlangsung di Odeum at Jiospace, Petaling Jaya, bermula jam 8.30 malam, bakal menampilkan persembahan berdurasi 90 minit dengan iringan sembilan pemuzik berbakat di bawah pimpinan Ayop Azril sebagai pengarah muzik.
Jennifer Thompson akan bertindak selaku pengarah konsert, sementara Datuk Syafinaz Selamat pula sebagai pengarah vokal.
Misha berjanji membawa elemen nostalgia kepada peminat dengan lagu-lagu hits yang pernah mempopularkan namanya sejak 2002.
“Nama Back to Basic mencerminkan perjalanan saya bermula dari pentas kecil hingga kini, membawa kembali memori indah saat saya mula dikenali,” tambah Misha.
Tiket untuk MISHA OMAR BACK TO BASIC SHOWCASE akan mula dijual pada 27 November 2024, jam 10 pagi, dengan harga bermula dari RM288 hingga RM488. Bagi kategori VIP, peminat juga berpeluang menikmati sesi bergambar eksklusif bersama Misha.
Jangan lepaskan peluang menyaksikan detik bersejarah ini. Tiket boleh didapati di JIOTIX atau hubungi +6011-51003111 (teks WhatsApp sahaja) untuk maklumat lanjut.