Ikuti Kami:

Misha Omar Kembali Dengan Break, Lagu Ciptaan Khas Melly Goeslaw

Misha Omar Kembali Dengan Break, Lagu Ciptaan Khas Melly Goeslaw

Penyanyi berkarakter vokal tersendiri Misha Omar muncul semula dengan buah tangan terbaharu berjudul Break, sebuah lagu balada emosional yang diciptakan khas oleh komposer tersohor Indonesia Melly Goeslaw.

Lagu ini menjadi kolaborasi sulung dua nama besar muzik Nusantara dan dilihat sebagai satu pencapaian istimewa dalam perjalanan seni Misha yang telah mewarnai industri lebih dua dekad.

Diterbitkan oleh Sony Music Entertainment, Break dilancarkan secara rasmi pada 20 Jun 2025 dan kini turut menjadi runut bunyi drama bersiri Mandul Bukan Pilihan yang disiarkan di Astro Ria dan sooka setiap Isnin hingga Khamis jam 10 malam.

Break merupakan ciptaan penuh lagu dan lirik oleh Melly Goeslaw, manakala susunan muzik dan penerbitan lagu pula dikemudi oleh Tohpati, penerbit dan pemuzik tersohor Indonesia.

Apa yang menjadikan Break lebih istimewa ialah ia bukan sekadar ciptaan Melly tetapi dihasilkan sepenuhnya dari judul, lirik hingga melodi khas untuk Misha selepas penyanyi itu sendiri menghubungi Melly secara peribadi di media sosial.

“Projek ini bermula apabila saya memberanikan diri mendekati Melly di DM. Saya DM beliau memberitahu hasrat untuk memiliki sebuah lagu yang diciptakan oleh beliau. Setelah itu Melly menciptakan Break khusus buat saya,” kata Misha.

Sidang media pelancaran single ini yang berlangsung di Courtyard by Marriott Kuala Lumpur South turut diserikan dengan kejutan istimewa apabila Melly Goeslaw membuat kemunculan mengejut dan bergandingan bersama Misha menyanyikan lagu Break di atas pentas.

Menariknya, Misha turut mendedahkan bahawa ini adalah kali pertama beliau berjumpa secara bersemuka dengan Melly Goeslaw, walaupun rakaman Break dilakukan di Jakarta.

Katanya, beliau sengaja tidak menjemput Melly ke studio ketika sesi rakaman kerana bimbang tidak dapat mengawal emosi.

“Saya tidak menjemput Melly semasa rakaman kerana saya tahu saya akan mudah tersentuh. Saya risau tidak dapat menahan emosi jika beliau ada, dan itu mungkin menjejaskan fokus serta rakaman lagu,” ujar Misha.

“Saya menyifatkan Break menjadi karya yang istimewa kerana sebagai penyanyi saya sudah lama ingin mendendangkan lagu hasil sentuhan Melly Goeslaw. Kini impian itu terlaksana pada waktu yang saya boleh kata sebagai tepat,” tambahnya lagi.

Dalam usaha menyampaikan lagu ini sebaik mungkin, Misha juga mendapatkan bimbingan vokal daripada Datuk Syafinaz Selamat dan melalui proses pembacaan lirik secara mendalam bagi memastikan penghayatan lagu benar-benar meresap.

“Saya mengikuti kelas vokal dan ‘membedah lirik’ supaya penghayatan dan seluruh rasa tentang Break dapat disampaikan dengan baik. Semoga lagu ini menyentuh jiwa dan membekas di hati peminat,” ujarnya.

Melly Goeslaw turut meluahkan rasa terharu dan bangga melihat hasil akhir lagu yang diciptakannya itu menjadi luar biasa apabila dinyanyikan oleh Misha.

“Semasa saya membuat lagu ini, bunyinya biasa sahaja. Tapi bila saya dengar rakaman suara Misha, saya rasa Break jadi luar biasa. Dia memberikan jiwa yang saya tak jangka,” kata Melly.

Melly juga berterima kasih kepada Misha kerana hadir menyokong konsert solonya baru-baru ini.

“Terima kasih Misha kerana datang ke konsert saya tempoh hari. Sebagai balasan, saya janji akan hadir ke konsert Misha yang dijadualkan pada bulan November nanti,” tambah Melly.

Break kini boleh distrim di semua platform digital utama seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube Music.

Komen
Loading...