Mimifly Lancar “Sahabat” Tampilkan Visual Nostalgia, Tribute Buat Allahyarham Jojo
- oleh Mohd Indera
- 1 hari lalu

Penyanyi dan penulis lirik Mimifly telah melancarkan muzik video (MV) terbaharunya berjudul “Sahabat”.
MV ini menampilkan suasana lama yang penuh nostalgia dan didedikasikan khas buat Allahyarham Jojo, rakan seperjuangannya dalam kumpulan One Nation Emcees.
MV ini menyentuh hati ramai penonton kerana mengangkat tema persahabatan dan kenangan yang kekal dalam ingatan. Konsep visual retro yang digunakan memberi suasana klasik, menggambarkan kembali momen-momen indah bersama sahabat.
Mimifly sendiri memberi idea dan terlibat secara langsung dalam menghasilkan konsep MV ini. Segala aspek seperti lokasi, pakaian dan gaya rakaman dirancang dengan teliti untuk menyampaikan kisah dan perasaan yang ada dalam lagu tersebut.
Menurut Mimifly, lagu dan MV Sahabat adalah cara beliau meluahkan kasih dan penghargaan kepada Jojo yang dianggap bukan sekadar rakan, tetapi seperti keluarga sendiri.
MV ini dihasilkan bersama Konda Kondi Studio, sebuah pasukan produksi yang sudah beberapa kali bekerjasama dengan Mimifly. Mereka dipilih kerana keserasian dan kefahaman dalam berkarya bersama.
Lagu Sahabat juga dipilih sebagai lagu penutup dalam filem “Mencari Ramlee”, lakonan Sofea Jane dan Tony Eusoff, yang akan ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bulan ini.
Mimifly berharap lagu dan muzik video ini dapat memberi makna kepada penonton dan menjadi kenangan indah buat mereka yang pernah kehilangan insan tersayang.