Ikuti Kami:

Mimifly Lancar ‘Nara’ Dengan Skin HOK Puteri Gunung Ledang

Mimifly Lancar ‘Nara’ Dengan Skin HOK Puteri Gunung Ledang

Penyanyi, penulis lagu dan penerbit muzik terkenal tanah air, Mimifly, kembali dengan single terbaharu berjudul Nara, yang dilancarkan bersempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

Lebih istimewa, pelancaran Nara turut dipadankan dengan kemunculan skin baharu Puteri Gunung Ledang dalam permainan mudah alih popular dunia Honor of Kings (HOK), hasil kolaborasi bersama Sony Music Entertainment Malaysia.

Diinspirasikan daripada legenda rakyat, Nara membawa mesej tentang kebijaksanaan, keberanian dan semangat juang seorang srikandi.

Mimifly atau nama lengkapnya Shamimi Amalina binti Norisham menjelaskan bahawa makna Nara amat dekat dengan dirinya dan boleh ditafsirkan secara universal.

“Bagi saya, Nara melambangkan seorang perwira, seorang pembela. Apabila saya menyebut perkataan ini, ia memberi getaran yang positif, seolah-olah mengingatkan bahawa dalam diri kita semua ada semangat untuk membela sesuatu yang kita percaya,”

“Nara mewakili kekuatan dalaman, keberanian dan tekad. Sebenarnya, kita semua adalah Nara, dan itu bermaksud kita semua adalah pahlawan dalam cara kita sendiri,” katanya.

Beliau menambah, melalui lagu ini, beliau mahu penonton merasakan kekuatan yang lahir bukan sahaja daripada tenaga, tetapi juga daripada minda, hati dan budaya.

Malah, seperti lagu terdahulu, Mimifly turut memasukkan elemen bahasa isyarat dalam koreografi Nara sebagai simbol keterangkuman.

Skin Puteri Gunung Ledang pula bakal diperkenalkan kepada pemain HOK bermula 28 Ogos ini, dan boleh ditebus secara percuma sehingga 9 September.

Rekaan ini menampilkan sentuhan tempatan termasuk fabrik songket serta motif visual Nusantara, menjadikannya simbol budaya Malaysia dalam dunia digital.

Menurut Eugene Chin, Pengurus Negara Level Infinite Malaysia, skin ini adalah lebih daripada sekadar tambahan visual.

“Ia adalah cara kami meraikan budaya tempatan dan memberikan pemain peluang untuk melihat diri mereka dalam karakter legenda yang diangkat,”

“Kami percaya warisan Malaysia mempunyai kisah berharga untuk dikongsikan, dan kami bangga dapat menyampaikannya kepada dunia melalui Honor of Kings,” katanya.

Pelancaran ini turut diperkasakan dengan kempen media sosial termasuk cabaran tarian #NARAofHOK, yang menggabungkan gerakan ikonik Mimifly serta koreografi bahasa isyarat dari video muzik rasmi.

Dengan jutaan pemain di seluruh dunia, Nara dan skin Puteri Gunung Ledang dijangka menjadi simbol baharu kebanggaan Malaysia, mengangkat muzik, mitos dan identiti negara ke pentas global.

Lagu berentak pop dan hip-hop dengan sentuhan Nusantara itu kini boleh didengar di Spotify, Apple Music serta YouTube Music sejak 15 Ogos lalu.

Foto Oleh: Subky Hj Bebit.

Komen
Loading...