Millenial Dangdut Karaoke Idol 2025, Pencarian Pelapis Baharu
- oleh MDaily Editor
- 16 Oct 2025 1:49 pm

Dunia muzik dangdut tanah air kembali bernafas apabila Fajar Baiduri Empire mengumumkan penganjuran Millenial Dangdut Karaoke Idol 2025, sebuah pertandingan pencarian bakat baharu yang bakal membuka peluang kepada generasi muda untuk menyerlahkan keupayaan mereka dalam genre dangdut.
Pertandingan ini diadakan bersempena Konsert Inul Daratista Live In Malaysia: Millenial Dangdut Nusantara, yang turut menampilkan persembahan istimewa daripada dua penyanyi dangdut popular tanah air, Amelina dan Baby Shima.
Menurut Pengarah Urusan Fajar Baiduri Empire, Khairul Isma, pertandingan ini bertujuan memberi peluang kepada generasi baharu menyerlahkan bakat dalam genre dangdut yang kian jarang diterokai oleh penyanyi muda masa kini.
“Maklum balas peminat terhadap konsert Inul amat luar biasa. Ramai yang meminta kami mencari pelapis baharu dalam genre ini, maka kami tampil dengan Millenial Dangdut Karaoke Idol 2025 untuk mencungkil bakat baharu dan memberi peluang mereka menjadi artis rakaman,” katanya.
Pertandingan ini menawarkan hadiah wang tunai RM1,500 untuk juara, selain peluang menjadi penyanyi rakaman di bawah Fajar Baiduri Empire. Tempat kedua bakal membawa pulang RM1,000, manakala lima finalis lain akan menerima RM700 setiap seorang.
Yuran penyertaan ditetapkan sebanyak RM30 seorang, dan pemegang tiket konsert Millenial Dangdut Nusantara secara automatik layak menyertai pertandingan tersebut.
Pendaftaran boleh dibuat dengan mengisi borang rasmi Google Form yang disediakan.
Antara syarat penyertaan ialah:
– Terbuka kepada warganegara Malaysia berumur 16 tahun ke atas.
– Penyertaan secara solo sahaja.
– Peserta hanya boleh memilih lagu daripada senarai Inul Daratista, Amelina dan Baby Shima.
– Pakaian mestilah sopan dan sesuai untuk tontonan umum.
– Tarikh tutup penyertaan: 8 November 2025.
Pertandingan ini akan berlangsung dari jam 5.00 hingga 7.00 petang di Kompleks Bukit Jambul.
Semua peserta dikehendaki mengikut panduan penyertaan termasuk memuat naik bukti pembayaran melalui borang penyertaan rasmi.
“Ini peluang keemasan untuk mereka yang mahu dikenali dalam dunia dangdut. Kami mahu melihat anak muda berani tampil dan membawa kembali semangat dangdut yang pernah menjadi fenomena,” ujar Khairul Isma.
Untuk maklumat lanjut, peserta boleh menghubungi talian 014-8038 487 (WhatsApp sahaja) atau melayari media sosial rasmi @suara_space.