Ikuti Kami:

Mierul Aiman, Aedy Ashraf Terajui ‘TARUNG: Unforgiven’

Mierul Aiman, Aedy Ashraf Terajui ‘TARUNG: Unforgiven’

Arena perfileman aksi tanah air bakal menyaksikan satu lagi lonjakan kualiti menerusi filem terbaharu arahan sutradara box office Razaisyam Rashid, ‘TARUNG: Unforgiven’, yang dijadual menemui penonton di 148 buah pawagam seluruh negara bermula esok, 7 Mei.

Naskhah terbitan ALPHA47 dengan kerjasama Icon Pictures dan Astro Shaw ini membariskan pelakon meningkat naik, Mierul Aiman dan pelakon versatil, Aedy Ashraf sebagai tunjang utama dalam sebuah naratif yang mengangkat tema perjuangan, penebusan dan pilihan hidup.

Menurut Razaisyam Rashid, filem ini membawa makna besar buat seluruh pasukan produksi kerana ia bukan sekadar sebuah naskhah aksi, malah merupakan satu karya yang memberikan pengalaman sinematik imersif menerusi teknologi bunyi Dolby Atmos.

“Perjalanan menghasilkan filem ini bukan mudah, namun kami berusaha memberikan yang terbaik dari segi jalan cerita dan aksi agar dapat dinikmati semua.”

“Tagline ‘kau cuma ayam sabung’ adalah metafora kepada kehidupan di mana setiap individu mempunyai gelanggang perjuangan masing-masing,” katanya di malam gala yang diadakan di GSC MidValley, di sini, baru-baru ini.

Mierul Aiman, yang membawakan watak Hatta, tampil dengan tenaga baharu dalam naskhah aksi berskala besar ini sebagai bekas juara silat yang diburu dosa silam.

Manakala Aedy Ashraf, yang turut menggalas tanggungjawab sebagai Penerbit Eksekutif, mempamerkan kematangan lakonan menerusi watak yang lebih kompleks.

Bagi Aedy Ashraf, penglibatan sulungnya sebagai penerbit merupakan satu cabaran dan tanggungjawab besar bagi memastikan karya ini dekat di hati penonton.

“Saya cuba memberikan komitmen terbaik bukan sahaja sebagai pelakon, tetapi juga sebagai individu yang diberi kepercayaan membawa karya ini ke layar perak. Saya berharap penonton dapat merasai kecekalan dan keberanian yang cuba kami sampaikan,” ujarnya.

Selain gandingan Mierul dan Aedy, filem ini turut mencuri tumpuan dengan kemunculan julung kalinya dua bintang bertaraf antarabangsa, Bront Palarae dan Zul Ariffin di dalam satu skrin yang sama.

Barisan pelakon lain yang turut memperkasakan filem ini termasuklah Amir Ahnaf, Azira Shafinaz, Sharifah Sakinah, Aeril Zafrel serta penampilan petarung sebenar seperti Jai JMT dan Ijam Asri.

Bagi memeriahkan tayangan, barisan pelakon akan mengadakan siri jelajah di seluruh negara bermula 8 Mei ini, meliputi Lembah Klang, diikuti zon Selatan, Utara dan berakhir di Pantai Timur pada penghujung Mei.

Peminat sudah boleh mendapatkan tiket awal di semua pawagam bermula hari ini.