Ikuti Kami:

Midnight Fusic Janji Persembahan Penuh Makna Dalam Konsert Pertama Mereka

Midnight Fusic Janji Persembahan Penuh Makna Dalam Konsert Pertama Mereka

Setelah lebih satu dekad mencipta nama dalam dunia muzik tanah air dan antarabangsa, kumpulan rock alternatif Midnight Fusic akhirnya bakal merealisasikan impian mereka untuk mengadakan konsert solo pertama yang dinamakan Midnight Fusic Forevermore 2025, pada 14 September ini di Zepp Kuala Lumpur.

Konsert yang dibawakan oleh OYOLLO ASIA ini bukan sekadar persembahan pentas biasa, malah menjanjikan pengalaman penuh makna buat para peminat yang selama ini menyokong perjalanan muzik mereka secara terang mahupun diam.

Menurut vokalis utama, Arif Kamarudin, konsert ini akan menampilkan sisi berbeza Midnight Fusic yang lebih jujur, matang dan dekat dengan peminat.

“Kami membawakan senarai lagu, visual dan konsep baharu. Ia bukan sekadar persembahan tetapi lembaran baru buat kami dan peminat. Kami mahu semua yang hadir merasai keterikatan emosi yang kami cipta,” katanya.

Midnight Fusic yang turut dianggotai Adrian Danial (vokal, gitar), Firdaus Azmi (bass) dan Muaz Rabbani (dram) menjadikan konsert ini sebagai penghargaan terhadap sokongan peminat yang tidak pernah luntur sejak penubuhan mereka pada tahun 2013.

Muaz, pemain dram kumpulan, menganggap konsert ini sebagai ruang refleksi dan penceritaan semula perjalanan mereka.

“Kami rancang senarai lagu untuk membawa penonton menyelami kisah kami dari awal hingga kini. Momen terbaik adalah saat lagu pertama dimainkan. Semua akan hanyut bersama dalam rentak dan rasa,” ujarnya.

Tahun 2024 menyaksikan kumpulan ini aktif dengan pelbagai persembahan di pentas tempatan dan luar negara termasuk di Korea melalui Incheon Record Platform 2024 dan Newtro Rhythm Global Music Tour 2024 serta muncul dalam acara Riuh, YSL Beauty, MLBB 8th Anniversary Music Party dan banyak lagi.

Pelancaran EP Modus Operandi pada Mei 2025 menjadi pembakar semangat mereka untuk menyusun sebuah konsert yang bukan sahaja menonjolkan sisi muzik tetapi juga cerita, warna dan kejujuran seni mereka.

Bagi Adrian dan Firdaus, konsert ini adalah bentuk penghormatan terhadap masa yang telah dilalui bersama peminat.

“Raikan 10 tahun kita bersama. Midnight Fusic, Forever and More!” ujar mereka.

Pengarah Urusan OYOLLO ASIA, Kenny Wong, menyifatkan konsert ini sebagai perayaan belia dan kreativiti muzik Malaysia.

“Midnight Fusic mewakili suara generasi akan datang. Kami percaya mereka membawa identiti muzik tempatan dengan potensi global. Konsert ini adalah hadiah kepada semua peminat,” katanya.

Tiket akan mula dijual pada 14 Julai 2025, jam 3 petang menerusi www.ticket2u.com.my dengan harga bermula dari RM134 hingga RM3,844, bergantung kepada kategori:

  • Kategori biasa bermula daripada RM134 (Free Standing)
  • Kategori premium hingga RM294 (VIP Free Standing)
  • Kategori eksklusif untuk VIP Box pula berharga RM3,844 (untuk 10 orang)

Untuk maklumat lanjut mengenai setiap kategori dan faedah yang disediakan, ikuti media sosial rasmi @Oyollo.asia dan @midnightfusic.

Konsert Midnight Fusic Forevermore 2025 bukan sekadar ulang tahun. Ia adalah malam untuk merayakan makna, kenangan dan perjalanan sebuah kumpulan yang telah menakluk pelbagai halangan bersama peminatnya dari dahulu, kini dan selamanya.

Komen
Loading...