Michael Learns To Rock Tak Sabar Temui Peminat Malaysia, Anggap Seperti Pulang Ke Rumah
- oleh MDaily Editor
- 29 Oct 2025 6:51 pm
Kumpulan pop legenda dari Denmark, Michael Learns To Rock (MLTR) bakal kembali menghiburkan peminat setia mereka di Malaysia menerusi konsert istimewa bertajuk “Michael Learns To Rock Encore – All The Hits in Malaysia” yang akan berlangsung pada 9 November ini, jam 6 petang di Arena of Stars, Resorts World Genting.
Konsert yang dianjurkan oleh MMIC Entertainment Group dengan kerjasama JS Concert Productions sebagai promoter dijangka mencipta detik penuh nostalgia buat peminat muzik era 1990-an, apabila kumpulan yang dianggotai oleh Jascha Richter, Mikkel Lentz dan Kåre Wanscher kembali ke pentas Malaysia selepas beberapa tahun.

Menurut Jascha dalam sidang media maya bersama media Asia semalam, Malaysia sentiasa mempunyai tempat istimewa di hati mereka.
“Kami mempunyai banyak kenangan indah di Malaysia sejak kali pertama membuat persembahan di sini. Apa yang paling kami rindukan ialah penonton yang sentiasa hadir dengan senyuman dan menyanyi bersama lagu-lagu kami. Setiap kali datang ke Malaysia, ia terasa seperti pulang ke rumah,” katanya.
Bagi Kåre Wanscher, Malaysia memiliki makna tersendiri dalam perjalanan karier mereka kerana ia adalah negara pertama yang membuka laluan MLTR ke pasaran Asia.
“Malaysia merupakan negara pertama yang kami lawati di Asia dan pengalaman itu sangat luar biasa. Sambutan peminat di sini amat mesra dan penuh semangat. Sejak itu, kami kembali berkali-kali dan setiap kali ke sini, rasanya seperti mengunjungi keluarga sendiri,” ujarnya.
Dengan rangkaian lagu popular seperti Take Me To Your Heart, Paint My Love, 25 Minutes, Sleeping Child dan That’s Why (You Go Away), MLTR masih mengekalkan daya tarik mereka merentasi generasi. Jascha turut mengakui keajaiban muzik menjadi sebab mereka masih relevan hingga kini.
“Kami berasa bertuah apabila generasi muda masih mendengar lagu kami kerana ibu bapa mereka memperkenalkan muzik MLTR di rumah. Muzik mempunyai kuasa menyatukan generasi dan itulah keindahan sebenar seni ini,” katanya lagi.

Sejak ditubuhkan pada tahun 1988, MLTR telah mengadakan hampir 1,000 persembahan secara langsung di seluruh dunia, menjual lebih 11 juta album serta meraih pelbagai anugerah emas dan platinum.
Dengan lebih 1.5 bilion penstriman global, kumpulan ini terus membuktikan keampuhan muzik mereka di pentas antarabangsa.
Harga tiket bermula daripada RM188 hingga RM988 dan boleh didapati menerusi rwgenting.com, etix.my dan trip.co.




