MHS Gold Komited Perkasa Aplikasi Emas Digital Patuh Syariah, Emas Serendah RM10
- oleh MDaily Editor
- 25 Apr 2026 4:38 pm
Syarikat penyedia pelaburan emas, MHS Gold, melancarkan aplikasi emas digital interaktif yang membolehkan rakyat Malaysia memiliki aset berharga itu dengan modal serendah RM10.
Langkah ini dilihat sebagai inisiatif memperkasakan inklusiviti kewangan, sekali gus memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat untuk membina simpanan emas secara konsisten dan teratur menerusi platform peranti pintar.
Pengasas MHS Gold, Mohamad Hifzhan Saifuddin berkata, pembangunan aplikasi itu bukan sekadar memudahkan urusan jual beli, malah memberi penekanan utama terhadap aspek keselamatan dan kepercayaan pengguna melalui ketelusan sandaran aset fizikal.

”Setiap pembelian emas secara digital melalui aplikasi ini adalah disandarkan sepenuhnya kepada emas fizikal. Pengguna mempunyai fleksibiliti untuk mengumpul simpanan sedikit demi sedikit dan apabila mencapai berat tertentu seperti satu gram, mereka boleh menebusnya kepada bentuk fizikal untuk dihantar terus ke pintu rumah.
”Kami amat menitikberatkan soal integriti. Justeru, MHS Gold kini berada dalam fasa akhir untuk melengkapkan pensijilan patuh syariah sepenuhnya bagi memastikan setiap transaksi dijalankan mengikut garis panduan hukum syarak yang ditetapkan,” katanya pada majlis pelancaran rasmi aplikasi itu di sini, hari ini.
Hadir sama memeriahkan pelancaran tersebut adalah pelakon popular, Yana Samsudin, yang dilantik sebagai duta rasmi jenama MHS Gold.
Mengulas mengenai ciri unik aplikasi, Mohamad Hifzhan menjelaskan pihaknya menyuntik elemen interaktif seperti sistem ‘daily check-in’ dan ranking mingguan bagi menyuntik semangat disiplin dalam kalangan penyimpan.
”Kami mahu merancakkan lagi industri emas tempatan. Dengan ciri seumpama ‘koin’ dan ganjaran hadiah bagi penyimpan tertinggi mingguan, ia akan menjadikan proses menyimpan emas sesuatu yang menyeronokkan dan bukan lagi dianggap sebagai pelaburan yang kaku,” katanya.
Bagi mengukuhkan kredibiliti jenama, MHS Gold turut memperkenalkan koleksi emas fizikal edisi pahlawan yang mengangkat tema ‘Pahlawan Melayu Melaka’ seperti Hang Tuah dan Hang Jebat pada produk satu gram, satu dina dan 10 gram mereka.
Meskipun baru sahaja melalui fasa pelancaran awal (soft launch) dua hari sebelum Aidilfitri lalu, aplikasi MHS Gold telah merekodkan lebih 2,000 pengguna aktif dengan nilai transaksi mencecah lebih setengah juta ringgit.
”Sasaran kami adalah untuk mencapai satu juta pengguna pertama dan melahirkan 10,000 ejen profesional bagi memperluaskan akses pemilikan emas di seluruh negara. Buat masa ini, kami juga sedang memperkukuhkan kehadiran fizikal dengan pembukaan cawangan di Kelantan dan Terengganu untuk menyokong ekosistem aplikasi ini,” tambahnya lagi.
Aplikasi MHS Gold kini boleh dimuat turun secara rasmi melalui Apple App Store dan Google Play Store.
