Ikuti Kami:

Metalverse Gegar Megastar Arena Kuala Lumpur April Ini

Metalverse Gegar Megastar Arena Kuala Lumpur April Ini

Demam muzik berat bakal melanda ibu kota apabila festival muzik berskala antarabangsa, Metalverse, diumumkan bakal menggegarkan Megastar Arena Kuala Lumpur selama dua hari berturut-turut pada 30 April dan 1 Mei depan.

Dianjurkan oleh Vox Nation Live, festival ini bakal menjadi tumpuan peminat genre metal dan punk dari seluruh rantau ini, menampilkan gabungan mantap enam artis antarabangsa serta barisan pemuzik tempatan yang berbakat.

Ketua Pegawai Eksekutif Vox Nation Live, En. Shawn Chang, berkata penganjuran Metalverse adalah satu usaha untuk mengisi kekosongan festival muzik berat berskala besar yang jarang diadakan di Malaysia, meskipun mempunyai komuniti peminat yang sangat besar dan bersemangat.

“Metal dan punk bukan sekadar muzik, ia adalah satu budaya. ‘Metalverse’ diwujudkan untuk memberi platform dan penghormatan yang sewajarnya kepada komuniti ini, sambil menghubungkan peminat tempatan dengan ekosistem global,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Setakat ini, festival tersebut telah mengesahkan kehadiran beberapa nama besar dalam arena metalcore dan post-hardcore moden. Antara yang paling dinantikan termasuklah kumpulan dari Amerika Syarikat, Of Mice & Men dan Blessthefall.

Selain itu, kumpulan ikonik seperti Miss May I, The Red Jumpsuit Apparatus, serta A Skylit Drive, yang pastinya akan menjanjikan persembahan live yang bertenaga dan penuh emosi.

Tidak hanya tertumpu kepada bakat luar negara, Metalverse turut memberi ruang kepada artis tempatan untuk menonjolkan taring mereka. Antara nama yang telah disahkan bakal beraksi termasuk kumpulan indie popular, Midnight Fusic dan Spooky Wet Dreams.

Menurut Shawn, pemilihan Megastar Arena KL sebagai lokasi dibuat kerana kualiti bunyi dan kemudahan akses yang strategik bagi memudahkan peminat dari dalam dan luar Lembah Klang hadir.

“Kami mahu mencipta pengalaman yang intim tetapi berkuasa. Peminat boleh merasai setiap riff dan breakdown dengan jelas dalam suasana produksi bertaraf dunia,” tambahnya lagi.

Tiket bagi festival Metalverse kini boleh didapati melalui laman web rasmi Ticketmelon.

Komen
Loading...